AM

PM Salur Bantuan Awal RM2,000 Kepada Waris Dua Beradik Maut Kemalangan

02/10/2026 10:50 PM

IPOH, 2 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada keluarga mangsa tiga beradik yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Perpaduan, Tambun di sini.

Sumbangan itu disampaikan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun Muhammad Izzudin Hariz Bohari, yang mewakili Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun Ashraf Kahasani berkata Perdana Menteri sendiri yang meminta wakil pusat khidmat menyampaikan bantuan awal, kepada keluarga terbabit.

“Perdana Menteri yang menelefon (Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri), telah menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa dan minta kita berikan sumbangan terus kepada waris, untuk membantu meringankan beban.

“Sekiranya ada bantuan susulan untuk seorang lagi mangsa yang cedera dan sedang dirawat di hospital, mungkin kita akan fokus untuk bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan di rumah keluarga mangsa di Taman Bagus, Tambun di sini.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 7.20 pagi tadi, remaja perempuan berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha EZ115 dan adiknya yang berusia sembilan tahun, maut dalam kejadian.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa berusia 12 tahun yang turut membonceng motosikal berkenaan, mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh di sini.

Sementara itu, murid Tahun Enam Norhayati Qaliesha Ibrahim yang terselamat dalam kemalangan itu, masih belum mengetahui kakak dan adik bongsunya telah meninggal dunia.

Kakak sulung mangsa Nurul Aeina, 28, berkata perkara tersebut belum dimaklumkan kepada Norhayati kerana keadaannya yang masih kritikal.

Nurul Aeina berkata beliau mengetahui mengenai kejadian menimpa tiga adiknya itu daripada guru sekolah mereka, kira-kira pukul 8 pagi.

Beliau berkata bagaimanapun hanya dimaklumkan mengenai kemalangan dan tidak diberitahu bahawa mereka sudah meninggal dunia.

“Bila saya pergi ke lokasi, barulah saya diberitahu yang mereka telah tiada,” katanya yang sedang sarat mengandung lapan bulan.

Dua mangsa yang meninggal dunia iaitu Elyana Nasuha dan adiknya Suhaila, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini, kira-kira pukul 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Syamsul Hazeman Md Salleh berkata pihaknya, menanggung kos pengurusan jenazah dua adik-beradik berkenaan dan bantuan lain yang sewajarnya untuk mangsa yang cedera parah.

“Pihak MAIPk menyediakan bantuan pengurusan jenazah untuk waris yang tidak berkemampuan dan jenazah tanpa waris,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan