AM

Hospital Bukit Mertajam Sambut Ulang Tahun Ke-136, Benteng Kesihatan Penduduk Seberang Perai Tengah

02/10/2026 10:53 PM

BUKIT MERTAJAM, 2 Okt (Bernama) -- Hospital Bukit Mertajam (HBM), antara hospital kerajaan tertua di negara ini menyambut ulang tahun ke-136 penubuhannya dengan komitmen untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk sekitar Seberang Perai Tengah.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata hospital itu mempunyai nilai sejarah mendalam dan sentiasa menjadi benteng utama perlindungan kesihatan komuniti termasuk ketika negara mendepani krisis pandemik COVID-19.

“Seiring dengan peredaran masa dan pertambahan bilangan pesakit kronik, infrastruktur hospital yang berusia lebih seabad ini memerlukan usaha penaiktarafan yang berterusan tanpa dipindahkan dari tapak asal,” katanya. 

Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala Amal sempena ulang tahun hospital itu yang turut dihadiri pengarahnya Dr S. Prashant di sini malam ini.

HBM mula beroperasi pada 1 Oktober 1890 dengan hanya 52 katil dan empat wad kini menjadi hospital pakar minor dengan 242 katil serta mengendalikan ratusan ribu pesakit setiap tahun.

Selain itu, Sim memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan projek pembesaran serta kelengkapan peralatan moden dan perolehan tapak tanah susulan dapat direalisasikan demi keselesaan pesakit serta petugas kesihatan.

Beliau berkata pembangunan itu penting memandangkan HBM yang telah beroperasi selama 136 tahun kini berhadapan cabaran infrastruktur bangunan yang berusia lebih satu abad, selain peningkatan jumlah pesakit kronik dan kesesakan di kawasan menunggu.

Dalam pada itu, Sim berkata peruntukan hampir RM10 juta telah disalurkan bagi pembangunan HBM dalam tempoh lima tahun dari 2022 termasuk RM3.5 juta daripada kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan