Sekilas
- Pengarah Erma Fatima menyokong pandangan Namron bahawa pelakon muda perlu tahu kemampuan diri dan tidak terlalu yakin hanya kerana ramai pengikut media sosial.
- Erma menegur pelakon yang belum cukup pengalaman tetapi sudah mahu dilayan seperti bintang besar di set penggambaran.
- Beliau menekankan pentingnya sikap toleransi dan profesionalisme di set supaya kerja berjalan lancar tanpa membebankan pengarah dan produksi.
Pengarah, Erma Fatima menyokong pandangan pelakon, Namron mengenai isu pelakon muda yang didakwa berani meminta bayaran sehingga RM100,000 untuk menjadi peneraju utama sesebuah filem.
Menerusi perkongsian di Instagram, Erma berpendapat setiap pelakon perlu tahu kemampuan diri dan tidak terlalu yakin hanya kerana mempunyai ramai pengikut di media sosial.
“Setuju sangat. Kena ukur baju di badan sendiri. Kadang-kadang mereka ini bila followers tinggi sikit, mereka rasa diri mereka hebat. Berlakon tak seberapa pun.
“Pelakon pun kena buat homework juga. Berapa payment stesen bayar penerbit? Production house adalah satu-satunya bisnes yang nak dapat 20 peratus keuntungan pun terseksa,” tulisnya.
Dalam pada itu, pengarah filem Langit 2 Warna itu turut menegur pelakon yang masih mempunyai banyak kekurangan tetapi sudah mahu dilayan seperti bintang besar di set penggambaran.
“Macam isu nak jadi diva jugalah. Kalau kau berlakon pun tak seberapa, apa kelas kau nak tunjuk diva dekat set. Ini yang susah bila berlakon feeling hebat macam ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Erma berkata pelakon yang sudah terbukti hebat seperti Eman Manan, Beto Kusyairy, Bront Palarae, Nabila Huda dan Kak Ogy sememangnya mempunyai reputasi yang membuatkan mereka layak menerima layanan profesional.
“Yang dah terang-terang hebat macam Eman Manan, Beto Kusyairy, Bront Palarae, Nabila Huda, Kak Ogy dan beberapa nama besar yang terbukti kehebatan lakonan.
“Mereka yang layak untuk diva di set dan kita producer pun faham tuntutan-tuntutan yang melibatkan profesional. Ini bukan menyusahkan semua orang di set penggambaran,” katanya.
Menurut Erma, suasana di set penggambaran perlu dijaga kerana semua yang terlibat bekerja sebagai satu pasukan.
Katanya, sikap bertolak ansur dan saling memahami penting supaya kerja berjalan lancar tanpa membebankan pengarah atau produksi.
“Bila di set, kerja macam keluarga. Kena ada toleransi dan ada give and take. Yang penting kau tak kusutkan otak pengarah dan ahli kumpulan.
“Kalau kau sendu dan masuk set macam kau artis popular, production pun ambil sekali sahaja.
“Tiada pengarah nak hadap pelakon yang ada masalah attitude di set. Apa pun, production akan senang hati ambil pelakon yang tidak menyusahkan orang sebab pengarah nak kerja dengan tenang di set,” kongsinya.