Semangat nak sambut Hari Kebangsaan memang lain macam. Ramai sanggup datang awal ke Putrajaya semata-mata mahu melihat sendiri kemeriahan perarakan Merdeka.
Tapi dalam suasana orang ramai berpusu-pusu, ada pula beberapa gelagat penonton yang buat netizen tepuk dahi.
Semua Orang Penat, Bukan Kita Seorang
Di laman threads, antara yang menjadi perhatian adalah isu pagar yang dikatakan dibuka lewat sehingga orang ramai terpaksa menunggu lama.
MURAI faham. Berdiri lama, cuaca panas dan keadaan sesak memang boleh buat emosi naik turun.
Tapi hakikatnya, semua orang pun penat.
Seorang netizen meninggalkan komen yang agak ‘pedas’:
“Faham pagar buka lambat, orang lain pun penat diri lama. Negara je merdeka tapi otak dan sikap masih terkongkong dan dijajah.”
Ada yang setuju, ada juga yang rasa teguran itu terlalu keras.
Tempat Duduk Pun Nak Berebut?
Isu lain yang turut dipersoalkan adalah sikap sesetengah penonton yang dilihat berebut tempat duduk, termasuk ketika ada warga emas dan wanita yang mungkin lebih memerlukan.
“Terpaling perlukan tempat duduk, padahal lelaki semua tu. Kalau betul la jantan utamakan tempat duduk tu dekat orang tua dan wanita dulu, takdak teloq,” tulis seorang lagi pengguna.
Okay, yang ini memang agak savage.
Namun MURAI rasa mesej di sebalik komen tersebut mudah. Kalau ada orang yang lebih memerlukan, berilah keutamaan.
Nak World Class, Adab Pun Kena World Class
Seorang lagi netizen pula bertanya, kalau begini perangai kita, bagaimana mahu Malaysia menjadi negara bertaraf dunia?
MURAI setuju pada satu perkara: kemajuan negara bukan hanya tentang bangunan, teknologi atau ekonomi.
Adab, toleransi dan cara kita melayan orang lain juga mencerminkan siapa kita. Hari Merdeka bukan sekadar melaungkan “Merdeka!”, tetapi peluang untuk kita tanya diri sendiri. Sudah merdekakah sikap kita?














