PETALING JAYA: Pelakon, Ropie Cecupak, bersyukur apabila keadaan dirinya sudah semakin pulih dan tidak mempunyai masalah kesihatan susulan dirinya yang rebah akibat cuaca panas ketika penggambaran di Shah Alam, baru-baru ini.
Tambah Ropie atau Zahid Tajuddin, kejadian diserang strok haba sebelum ini membuatnya lebih berjaga-jaga dan bersedia sekiranya mahu bekerja dalam cuaca panas.
“Alhamdulillah, sekarang sudah okey dan semakin baik. Setakat ini tiada apa-apa yang serius. Saya tidak ada masalah kesihatan.
“Sebelum ini pun saya menjalani penggambaran selama seminggu dalam cuaca panas dan tidak mengalami masalah.
“Cuma mungkin kita kena lebih bersedia apabila sudah tahu keadaan cuaca seperti itu. Kita boleh buat persiapan, tetapi kalau benda nak berlaku, tetap berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai kejadian di Shah Alam tempoh hari, Ropie berkata cuaca pada ketika itu sangat tinggi mencecah 41 darjah celcius membuatnya terlanggar batu sebelum pitam.
“Sekejap saja saya pitam. Panas sangat rasanya. Sebelum itu, kalau tak silap saya suhu 41 darjah Celsius.
“Saya terlanggar satu batu dekat khemah. Batu itu besar jugalah tapi saya tak nampak. Ia seperti digunakan untuk menahan sesuatu.
“Bila terlanggar, lutut saya terkena batu itu. Memang sakit sangat, jadi saya duduk di situ untuk relaks seba rasa macam kepala berpusing, tapi saya masih boleh berjalan,” katanya.
Bagaimanapun, Ropie bersyukur apabila insiden itu turut disaksikan rakan pelakon, Jasper Supayah yang turut membantunya memberikan rawatan.
“Selepas sedar, saya muntah air yang rasa pahit. Kemudian, petugas medik datang dan memberikan suntikan, kalau tak silap saya ubat tahan muntah dan ubat untuk menghilangkan pening.
“Selepas itu, saya bangun dan berdiri, sudah tidak pening. Jadi, saya sambung semula penggambaran.
“Selepas sedar, saya muntah air yang rasa pahit. Kemudian, petugas kesihaan datang dan memberikan suntikan, kalau tak silap saya ubat tahan muntah dan ubat untuk menghilangkan pening.
“Selepas itu, saya bangun dan berdiri, sudah tidak pening. Jadi, saya sambung semula penggambaran,” katanya.
Terdahulu, pelakon, Zalif Sidek berkongsi sahabatnya, Ropie Cecupak rebah ketika menjalani penggambaran akibat strok haba dan menerima rawatan oleh petugas keselamatan di sana. -UTUSAN










