TEMERLOH: Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Lanchang di sini malam tadi, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 di Putrajaya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu, sebuah lori tangki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain di hadapannya yang bergerak perlahan menghala arah timur.
Mangsa yang maut ialah pemandu Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32; isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun, Muhammad Armaan Nazeef.
Nahas itu turut meragut nyawa seorang lagi mangsa, Seow Beng Wain, 55, iaitu penumpang Honda CR-V manakala pemandu lori tangki berkenaan, Zulkarnain Md. Noh, 52, dari Kuantan, mengalami kecederaan parah.
Bapa kepada Nur Atiqah Sofiya, Mohd. Kazwan Kassim, 59, berkata, anaknya ada memuat naik gambar bersama menantu dan cucunya menghadiri sambutan kemerdekaan di Putrajaya semalam dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
“Saya tidak tahu bila mereka bertolak ke sana atau bergerak pulang, saya cuma dapat berita tentang kejadian menimpa mereka kira-kira pukul 7.50 pagi ini.
“Saya dapat tahu dari kawan-kawan anak namun dalam hati masih tidak yakin sehingga saya melihat gambar dalam media sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini hari ini.
Mohd. Kazwan berkata, Nur Atiqah Sofiya adalah anak kedua daripada empat beradik dan pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan manakala menantunya, Muhammad Nazatul pula bekerja di sebuah kilang di Gebeng dan berasal dari Kuala Lumpur.
“Kali terakhir kami berjumpa pada Khamis lalu kerana kediaman kami berhampiran di Bandar Damansara (Kuantan),” katanya.
Menurutnya, jenazah ketiga-tiga mangsa dimandi, dikafan serta disolatkan di Masjid Kampung Paya Luas, di sini, sebelum dibawa pulang ke Kuantan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali. – UTUSAN










