KUALA LUMPUR: Seramai 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun disasar menerima akses percuma kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan menerusi program AI Untuk Rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, inisiatif itu bertujuan memperluas pengetahuan dan kemahiran kecerdasan buatan (AI), sekali gus membolehkan generasi muda bukan sahaja menggunakan teknologi berkenaan, tetapi turut mencorakkan masa depannya.
“Kami berbangga dapat menyokong Kerajaan Malaysia dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara peneraju AI, yang dimulakan dengan memberi akses kepada ILMUchat Pro untuk rakyat muda Malaysia melalui program AI Untuk Rakyat.
“Kami berharap dapat memperkasakan generasi ini bukan sahaja untuk menggunakan AI, malah menjadi pembangun dan penyumbang yang mencorakkan masa depan AI Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
AI Untuk Rakyat merupakan inisiatif kebangsaan Kementerian Digital yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL AI Labs dan MyDIGITAL Corporation menerusi platform latihan digital kebangsaan, Rakyat Digital.
Program itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu bersempena pelancaran AI Malaysia di Cyberjaya bersama Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
Menerusi tawaran berkenaan, peserta yang melengkapkan modul pembelajaran ditetapkan di Rakyat Digital dan memilih ILMUchat akan menerima akses penggunaan ILMUchat Pro tanpa had selama tiga bulan.
Langganan itu biasanya ditawarkan pada harga RM50 sebulan.
MyDigital ID akan digunakan untuk mengesahkan kelayakan peserta serta memastikan akses kepada langganan percuma itu dilaksanakan secara selamat dan lancar.
ILMUchat Pro merupakan pembantu AI yang dibangunkan berdasarkan cara rakyat Malaysia berkomunikasi dan bekerja, termasuk pertukaran semula jadi antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Manglish.
Platform itu boleh digunakan bagi pelbagai tugasan harian, pendidikan dan profesional seperti merangka e-mel serta surat, mencari perkhidmatan tempatan, mencipta poster dan grafik serta menghasilkan slaid pembentangan.
Pengguna juga boleh membina prototaip aplikasi berfungsi tanpa menulis kod, selain mendapatkan bantuan berkaitan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), permohonan geran perusahaan kecil dan sederhana serta permohonan pekerjaan.
Untuk menuntut tawaran itu, peserta perlu mendaftar masuk ke rakyatdigital.gov.my dan melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan.
Peserta kemudian perlu memilih ILMUchat Pro pada papan pemuka Rakyat Digital sebelum mendaftar masuk ke ILMUchat menggunakan MyDigital ID bagi mengaktifkan akses percuma selama tiga bulan.
YTL AI Labs merupakan pusat inovasi AI di bawah YTL Power International Berhad yang membangunkan model AI berdaulat berteraskan keperluan, nilai dan konteks tempatan.
Model utamanya, ILMU, direka dengan pemahaman budaya serta konteks tempatan dan kefasihan dalam bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pasaran serta masyarakat Malaysia.