Pada 8 Februari 1956, satu Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di Lancaster House, London yang menetapkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman dan Setiausaha Tanah Jajahan British Alan Lennox-Boyd.
Perjanjian ini menandakan berakhirnya mitos penjajah yang sebelum ini membentuk pemikiran tahyul bahawa orang Melayu sebagai malas, tidak berdikari dan pasrah dalam persaingan dunia.
Dalam erti kata lain, orang Melayu tiada kemampuan untuk merdeka.
Mitos kemunduran bangsa
Empat belas tahun selepas merdeka, mitos ini cuba dihidupkan semula oleh beberapa pemimpin politik Umno menerusi buku Revolusi Mental 1971 yang menjerumus orang Melayu ke dalam belenggu inferiority complex dan bertujuan menjadikan orang Melayu seolah-olah bangsa yang hanya bergantung nasib kepada pemimpin politik dan kelas elitis.
Mitos ini kemudian dipatahkan oleh segolongan pemikir seperti Prof Diraja Ungku Aziz dan Prof Syed Hussein Alatas masing-masing dalam Jejak-jejak di Pantai Zaman dan Mitos Peribumi Malas.
Kemunduran sesuatu bangsa bukan sebab genetik atau jalur keturunan, tetapi pendedahan kesedaran dan ruang pendidikan yang dinafikan terhadap bangsa dijajah.
Usaha ini disambut oleh pemimpin politik pada dekad 1990an termasuk Anwar Ibrahim menerusi wacana buku beliau The Asian Renaissance (Gelombang Kebangkitan Asia), selain beberapa polisi ekonomi kerajaan waktu itu yang berjaya meningkatkan mobiliti sosial masyarakat.

Dalam meniti perkembangan kemajuan ini, muncul kelompok aliran kanan yang cuba ‘construct’ idea-idea kegemilangan orang Melayu. Usaha ini pada dasarnya baik sebagai pendorong kepada usaha memajukan bangsa.
Namun demikian, sebilangan golongan telah membawa naratif ini memasuki fasa yang agak berlebih-lebihan.
Ia hingga membawa kepada kisah tahyul yang cuba dijaja oleh ‘ahli cocoklogi’ sebagai penglipur lara untuk halwa telinga sebilangan orang Melayu mengagumi diri sendiri.
[Catatan: Ahli 'cocoklogi' istilah slanga merujuk individu yang mereka-reka perkaitan dan mempergunakan fakta supaya kelihatan menyokong ceritanya.]
Justeru, kisah Melayu boleh terbang, orang Melayu asal keturunan Nabi Ibrahim, Melayu dari keturunan Bani Israel yang hilang dan lain-lain kisah tanpa dalil dan pembuktian akademik yang sah bukanlah satu ‘construct’ yang baru.
Walaupun kisah buatan ahli cocoklogi ini dilihat jauh pertentangannya dari sisi mitos Barat, kedua-dua ‘construct’ ini menelurkan natijah yang sama: melemahkan bangsa Melayu. Seolah-olah bangsa ini terlalu lemah hingga perlu bergantung dengan kisah karut untuk membina etos sendiri?
Gagasan keunggulan umat
Sejak penubuhan Abim, pertubuhan tersebut telah membawa gagasan ‘khairiyyatul ummah’ atau keunggulan umat.
Memetik Surah Ali-‘Imran ayat 110, mantan Presiden Abim, Almarhum Siddiq Fadzil merumuskan kepentingan membawa agenda pendidikan al-hikmah yang bertujuan membina khayriyyatul ummah atau keunggulan umat ini.
Lebih utama, khayriyyah (keunggulan) ini adalah keunggulan bersyarat dengan usaha keras (syurut al-muktasabah), ia bukan suatu keunggulan yang diwarisi (la ‘unsuriyyah mawruthah). Siddiq Fadzil menjelaskan mana-mana bangsa tidak unggul secara lahiriah dan warisan, tetapi berpaksikan syarat komitmen dan usaha.
Dalam konteks ayat 110 tersebut, syarat yang difirmankan Allah adalah keimanan, komitmen terhadap nilai-nilai kemakrufan, dan semangat melawan gejala kemungkaran.
Konsep ini yang membezakan kita umat Melayu dari kelompok Yahudi yang mendendangkan kisah dongeng, khurafat dan tahyul akan keunggulan bangsa mereka secara warisan sedangkan kita semua adalah manusia sama berketurunan Nabi Adam.
Gagasan yang dibawa Abim ini telah meluruskan kembali usaha memberdaya bangsa agar tidak tergelincir ke gaung yang berada di sebelah kanan ketika mengelak cerun yang ada di sebelah kiri.

Kita tidak perlu berlebih-lebihan hingga mencipta khayalan untuk bangkitkan keunggulan bangsa, tetapi dengan mengimani firman Allah tersebut dan berusaha keras atas kapasiti kesaksamaan kita sebagai manusia di dunia ini.
Melayu melalui proses peradaban ilmiah – akliah.
Sekitar tahun 1990-an wacana berkenaan buku ‘Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan ‘Minda Melayu Baharu’ oleh Siddiq Fadzil telah diangkat Abim sebagai lanjutan memperkukuh gagasan keunggulan umat.
Dalam ‘Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’, dipertegaskan bahawa selepas Islam berlakunya perluasan ilmuwan dan pendidikan orang Melayu yang mencirikan zaman baru dalam persejarahan Melayu sebagai semboyan membawa rasionalisme dan pengetahuan akliah.
“Sungguhpun cerita dongeng dan hikayat-hikayat roman dan sebagainya masih tetap digemari di kalangan raja dan bangsawan, namun mereka ternampak giat merubah sikap terhadap penilaian sastera: jikalau dahulu mereka asyik menggemari renungan foya dongengan khayal, kini mereka giat menganjurkan penulisan dan pentafsiran ilmu-ilmu sejarah dan tasawuf serta falsafah Islam.”
Begitu juga yang dipertegaskan dalam buku Minda Melayu Baru, apabila Siddiq Fadzil menjelaskan “sejarah pengislaman telah membawa umat Melayu mengenal erti demokratisasi ilmu dan pendidikan.
Budaya ilmu dan tradisi pengajian telah meluas dan merakyat, lalu pecahlah monopoli pujangga istana sebagai elit ilmuwan. Ia akhirnya mewariskan khazanah intelektualisme Melayu dalam bentuk jawi literatures peninggalan ilmuwan dunia Melayu – al-Fansuri, al-Raniri, al-Sumatrani, al-Jauhari, al-Falambani, al-Banjari, al-Bantani, al-Fatani dan lain-lain lagi.
Revolusi intelektual bawaan Islam tidak lagi dapat menerima kewibawaan raja yang cuma diasaskan kepada mitos kesaktian dan kedewaan yang tidak rasional. Islam telah membimbing umat Melayu meninggalkan budaya tahyul pra-Islam menuju peradaban baru yang bersifat ilmiah-akliah.”
Proses ini menandai peradaban Melayu bergerak ke hadapan tanpa perlu menoleh kembali kepada cerita-cerita buatan yang menyanggahi rasionalisme akliah.
Kematian intelektualisme
Gejala ahli cocoklogi dengan kisah dongeng yang diterima sebahagian masyarakat telah menyaksikan kita disinggahi sindrom kemarau intelektual di tengah-tengah kebanjiran graduan.
Rupa-rupanya yang namanya intelektual bukan sekadar pemilik ijazah tinggi. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas.
Institusi Pengajian Tinggi dianggap sebagai ‘the last bastion’, kubu terakhir tradisi keintelektualan. Tetapi apabila IPT sendiri dilanda golongan cocoklogi, maka IPT akan segera kehilangan kekuatan meritnya, serta misi keintelektualannya.

Inilah akibat apabila mereka dalam dunia IPT juga turut memasuki gelanggang permainan media sosial tanpa integriti.
Apabila algoritma dan kuasa viral menjadi aturan mainan, kecenderungan bukan lagi untuk mendidik tetapi untuk meraih ‘engagement’ sebagai alat mencapai tahap kedudukan dan pengaruh politik tertentu. Justeru apa guna pencapaian akademik yang tinggi tanpa integriti keilmuan?
Julien Benda pernah menulis tentang pengkhianatan terhadap amanah keilmuan menerusi The Betrayal of the Intellectuals pada 1927 yang memaparkan fenomena masyarakat cendekiawan Perancis waktu itu.
Menurut Benda, golongan itu telah mengkhianati tanggungjawab moral mereka sebagai intelektual. Mereka lebih mementingkan nilai-nilai praktis iaitu kedudukan dan pengaruh politik dari nilai ilmu itu sendiri.

Kalau dahulu Plato mengajarkan bahawa moral yang harus menentukan pengaruh politik, Machiavelli pula menolaknya dengan tesis bahawa moral tidak mempunyai hubungan dengan pengaruh politik, tetapi kaum intelektual Perancis bersikap lebih melampau dengan mengambil pendirian bahawa pengaruh politik yang menentukan moral.
Mungkin masanya belum terlalu lewat untuk Kerajaan Madani memulihkan kredibiliti IPT dengan mempertimbangkan semula saranan untuk membawa ‘value-based character education’. Pendidikan yang membentuk watak dengan penerapan nilai-nilai kejujuran, rasional, kebebasan dan kebertanggungjawaban – akauntabiliti.
Dalam masa sama usaha menyubur dan menyegarkan budaya ilmu dalam masyarakat Melayu harus diperkasakan untuk membina kembali masyarakat yang ‘a knowledge-based society par excellence’ yang pernah diungkapkan sendiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ pengerusi Bersih dan bekas presiden Abim.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

