PUTRAJAYA: Kehadiran hero ‘berkaki empat’ yang memakai kasut beserta kaca mata hitam menarik perhatian orang ramai yang menghadiri perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69.
Bukan sekadar kelihatan segak, ada beberapa ekor anjing Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencuit hati pengunjung, malah ada antaranya kelihatan tenang dan fokus seolah-olah sudah biasa menjadi perhatian ketika berkawad bersama pengendalinya.
Unit K9 PDRM menyertai perarakan bersama 18 pegawai polis dan 16 ekor anjing, manakala Pasukan Pengendali Anjing Perang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula membabitkan 25 anggota bersama 25 ekor anjing.
Dalam pada itu, kemeriahan perarakan turut diserikan dengan penyertaan Skuadron Istiadat Berkuda ATM yang menampilkan 43 ekor kuda istiadat.
Hari ini, Dataran Putrajaya menyaksikan perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 yang melibatkan lebih 10,819 peserta daripada 76 kontinjen selain melibatkan 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan. – UTUSAN










