Peguam seru siasat 4WD gilis mati anak anjing

Peguam seru siasat 4WD gilis mati anak anjing

Lawyers for Animal Rights berkata kenderaan berwarna putih itu menggilis anak anjing sebanyak dua kali di kawasan parkir.

langgar anjing
Lawyers for Animal Rights gesa pihak berkuasa mendapatkan rakaman CCTV sebelum ia dipadamkan, selain mengesan suspek memandu terbabit.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi haiwan menyeru polis menyiasat insiden kenderaan pacuan empat roda (4WD) menggilis dua kali anak anjing, di kawasan parkir di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Rajesh Nagarajan daripada Lawyers for Animal Rights, berkata sebuah Mitsubishi Triton berwarna putih dilihat terlebih dahulu menggilis anak anjing itu semasa memasuki petak parkir, sebelum mengundur lalu menggilisnya kali kedua, membawa kematian haiwan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan tidak boleh dianggap sebagai kecuaian atau kemalangan semata-mata.

“Apa yang menjadikan kes ini sangat membimbangkan adalah kenderaan itu mengundur dan menggilis haiwan sama buat kali kedua,” katanya dalam kenyataan, sambil menyatakan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lukut.

Rajesh menggesa kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(a) dan 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan, merangkumi perbuatan kejam terhadap haiwan dan menyebabkan kesakitan atau penyeksaan yang tidak sepatutnya.

Peguam itu berkata, pihak berkuasa mesti mendapatkan rakaman litar tertutup (CCTV) dari kawasan tersebut sebelum ia dipadamkan, selain mengesan suspek dan mendapatkan laporan forensik veterinar bagi mengenalpasti punca kematian anak anjing malang tersebut.

FMT sedang mendapatkan polis bagi ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.