
Bernama memetik polis Nepal dalam hantaran di Facebook meminta waris terdekat — bapa, ibu atau anak — kepada individu hilang supaya menyerahkan sampel DNA untuk dipadankan dengan sisa mayat ditemui.
Bagi waris di Nepal, sampel darah segar boleh diserahkan untuk pemprofilan DNA di Makmal Patologi Hospital Polis Nepal di Maharajgunj, Kathmandu atau pejabat polis daerah terdekat.
Waris yang menetap di luar negara pula diminta menjalani pemprofilan DNA di makmal bertauliah di negara masing-masing dan menghantar salinan profil DNA itu kepada polis Nepal melalui e-mel [email protected] bagi tujuan padanan.
Menurut portal berita The Kathmandu Post, Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan dalam kemas kini carian, penyelamat dan bantuan yang dikeluarkan pada 9 pagi Isnin memaklumkan 903 mayat, termasuk cebisan mayat, ditemui di beberapa daerah terjejas banjir.
Daerah Chitwan merekodkan 272 mayat ditemui, disusuli Nawalparasi Timur (207) dan Nawalparasi Barat (151), Nuwakot (95), Gorkha (62), Dhading (55), Tanahun (37) dan Rasuwa (24).
“Kebanyakan mayat dijumpai beratus-ratus kilometer di hilir sungai selepas arus banjir deras membawa mangsa dan sisa runtuhan di sepanjang laluan sungai,” lapor portal berita itu.
Jumlah orang yang dilaporkan hilang meningkat mendadak, dengan Nuwakot merekodkan 1,558 orang belum ditemui, manakala Rasuwa seramai 865 orang. Seramai 933 individu yang dikaitkan dengan projek hidroelektrik, 592 warga asing dan 127 rakyat tempatan yang mengiringi pelancong asing masih hilang.
Pihak berkuasa melaporkan 10,451 orang diselamatkan setakat ini.
Operasi udara memainkan peranan utama, dengan 411 penerbangan helikopter dilakukan setakat ini (termasuk 17 penerbangan pada Isnin). Penyelamatan udara oleh tentera Nepal merangkumi 3,344 rakyat tempatan dan 252 warga asing — termasuk 15 warga China dan tujuh warga India yang dipindahkan dari tapak hidroelektrik pada Ahad.