
Nazatul Nazmi, 32, yang memandu Proton S70, isterinya Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka, Armaan Nazeef, 4, dan penumpang Honda CRV, Seow Beng Wain, 55, meninggal dunia dalam nahas itu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah bas ekspres, Toyota Hilux, Toyota Alphard dan lima kereta lain, dengan semua kenderaan berkenaan dalam perjalanan menuju ke arah timur.
Jelasnya, lori tangki simen dipandu lelaki berusia 52 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan.
“Pemandu Honda CRV berusia 18 tahun dan pemandu lori tangki mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, pemandu serta penumpang lapan kenderaan lain tidak mengalami kecederaan serius.
Menurutnya, semua mangsa dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Salahuddin Isa dilaporkan berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama dua jentera tiba di lokasi pada 11.24 malam selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.44 malam.
“BBP Temerloh kemudian tiba dengan tujuh anggota bagi membantu mengeluarkan seorang mangsa tersepit dalam Honda CRV. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diserahkan kepada polis.”
Katanya, enam anggota dari BBP Karak membantu mengeluarkan tiga mangsa tersepit dalam Proton S70, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM sebelum diserahkan kepada polis.