
Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, penemuan mayat berkenaan dimaklumkan oleh orang awam sebelum mayat dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Katanya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati dan identitinya juga masih belum dikenal pasti.
“Si mati adalah lelaki berkulit cerah, botak, berketinggian kira-kira 170cm dengan berat 50kg,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Hafiz berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada badan si mati dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti si mati serta mengesan suspek yang terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ity atau mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang dan mempunyai ciri-ciri menyerupai si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 013-3479809.
“Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kita juga menasihatkan orang ramai tidak menularkan sebarang imej, video atau maklumat tidak sahih di mana-mana platform media sosial, serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.