
Beliau berkata bank pusat sedang mengkaji semula bagaimana peraturan boleh disesuaikan dengan lebih baik bagi menyokong peralihan tenaga, termasuk memberikan lebih banyak kelonggaran kepada institusi kewangan untuk mengambil risiko yang lebih tinggi dalam lingkungan tahap risiko yang boleh diterima.
“Risiko ini perlu difahami, dinilai dan diuruskan dengan sewajarnya dalam lingkungan tahap risiko yang boleh diterima,” katanya semasa berucap pada Persidangan JC3 Journey to Zero 2026.
Rasheed berkata BNM komited untuk memudah cara perancangan projek tenaga hijau selain mengkaji pelarasan dari segi kawal selia dan penyeliaan bagi menyokong usaha itu.
Beliau berkata walaupun terdapat modal, cabaran utama ialah pengantaraan kewangan terutama penyaluran dana kepada projek hijau yang berdaya maju dan berpotensi untuk dikembangkan.
Menurutnya banyak projek berimpak tinggi terutama pada peringkat awal yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan berikutan dianggap tidak berdaya maju dari segi komersial, walaupun boleh dilaksanakan dari segi teknikal.