London: Liverpool menjangkakan Mohamed Salah akan kembali beraksi sebelum tamat musim ini meskipun penyerang itu mengalami kecederaan otot.
Salah terpaksa dikeluarkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace Sabtu lalu selepas disyaki mengalami kecederaan hamstring, sekali gus mencetuskan kebimbangan dia mungkin terlepas baki musim.
Bagaimanapun, kelab mengesahkan kecederaan itu hanya ringan dan pemain berusia 33 tahun berkenaan dijangka kembali sebelum kempen berakhir, sekali gus memberi peluang untuk aksi perpisahan di Anfield.
Salah yang akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini selepas sembilan tahun, tiba dari AS Roma pada 2017 dan sudah meledak 257 gol dalam lebih 400 penampilan, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman kelab di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.
Sepanjang bersama Liverpool, dia meraih empat Kasut Emas Liga Perdana Inggeris selain membantu kelab menjulang dua kejuaraan liga serta trofi Liga Juara-Juara 2019.
Namun, masa depannya di Anfield sebelum ini menjadi tanda tanya susulan konflik dengan pengurus, Arne Slot pada Disember lalu.
Liverpool kini berada di tangga keempat liga dan bakal berdepan seteru utama, Manchester United di Old Trafford hujung minggu ini dalam usaha mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.