London: Arsenal berpeluang melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris apabila berdepan Fulham hujung minggu ini.
Kemenangan bakal menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta itu mendahului enam mata di depan Manchester City yang hanya beraksi dua hari kemudian menentang Everton.'
Namun, Arsenal perlu kembali menemui sentuhan penyudah selepas gagal menjaringkan lebih satu gol dalam beberapa aksi terakhir, sekali gus menjadikan perlumbaan kejuaraan dijangka ditentukan oleh margin tipis.
Bekas pertahanan England, Gary Neville percaya Arsenal tidak akan mempunyai laluan mudah untuk menamatkan kemarau kejuaraan.
"Ia akan jadi perjuangan sengit hingga ke garisan penamat," katanya.
Di kelompok bawahan, Tottenham Hotspur terus berdepan masalah kecederaan menjelang aksi menentang Aston Villa.
Pengendali, Roberto De Zerbi kehilangan beberapa tonggak termasuk Xavi Simons dan Dominic Solanke, sekali gus menyukarkan usaha mereka keluar dari zon penyingkiran.
Spurs kini dua mata di belakang West Ham United yang turut berdepan Brentford dalam satu lagi aksi penting.
Sementara itu, Chelsea cuba bangkit menamatkan musim dengan positif selepas prestasi tidak menentu.
Di bawah kendalian sementara Calum McFarlane, mereka kembali meraih kemenangan ke atas Leeds United dan mara ke final Piala FA.
Walaupun menghuni tangga kelapan, Chelsea masih berpeluang memburu slot Liga Juara-Juara dengan persaingan sengit membabitkan Brighton & Hove Albion, Bournemouth dan Fulham.
Dengan hanya beberapa perlawanan berbaki, setiap mata kini menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan, kelayakan Eropah dan juga survival liga.