Bola Sepak

Ndiaye tambah sengat City

Oleh AFP

London: Manchester City bersetuju mendapatkan pemain sayap Senegal, Iliman Ndiaye dari Everton dengan nilai perpindahan £65 juta (RM355 juta), menurut laporan, awal pagi tadi.

City akan membayar £60 juta (RM327 juta) sebagai bayaran awal dengan tambahan £5 juta (RM27 juta) lagi menerusi klausa bonus.

Tottenham turut dikaitkan dengan Ndiaye, namun City dilihat memenangi persaingan mendapatkan tandatangan pemain berusia 26 tahun itu.

Minat City terhadap penyerang Liverpool, Cody Gakpo tidak kesampaian selepas The Reds enggan melepaskan pemain itu pada penghujung jendela perpindahan tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengganti.

Situasi itu menyebabkan City mengalihkan perhatian kepada Ndiaye, yang dijangka menjalani pemeriksaan perubatan bagi melengkapkan perpindahan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada jam 6 pagi esok.

Ndiaye menyertai Everton dari Marseille dengan nilai £15 juta (RM81 juta) dua tahun lalu dan menjaringkan enam gol untuk skuad kendalian David Moyes musim lalu.

Perpindahan Ndiaye ke City dijangka berlaku selepas kelab itu melengkapkan pembelian pemain sayap Brazil, Allan Elias dari Palmeiras dengan nilai £34.2 juta (RM186 juta), semalam.

Ndiaye akan menjadi pemain keempat berprofil tinggi yang ditandatangani City sejak penghujung musim lalu selepas ketibaan Elliot Anderson, Ayyoub Bouaddi dan Allan.

Bagaimanapun, masih ada kemungkinan City mendapatkan beberapa pemain lagi sebelum jendela perpindahan ditutup.

Bekas pengurus Chelsea yang kini mengendalikan City, Enzo Maresca, dilaporkan berminat untuk bersatu semula dengan pemain tengah The Blues, Enzo Fernandez, yang tidak disenaraikan dalam dua perlawanan terakhir kelab London itu.

Selepas gagal mendapatkan Ndiaye, Tottenham dipercayai sedang berunding untuk membawa masuk penyerang Chelsea, Mykhailo Mudryk, secara pinjaman selama semusim.

Disiarkan pada: September 1, 2026 @ 8:18am
d