Sukan Lain

Influencer 'berentap' di gelanggang tinju Dubai

Kuala Lumpur : Sejarah baharu bakal tercipta dalam industri kandungan digital global apabila seramai 16 pempengaruh (influencer) media sosial dari tujuh negara bakal berentap di gelanggang tinju menerusi acara All Star Championship: Dubai Edition, pada 3 Mei ini.

Pertandingan yang akan berlangsung di Round 10 Boxing Club, Dubai itu menghimpunkan peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Maghribi, Rusia, Vietnam dan Jepun dalam satu platform kompetitif berkonsepkan sukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Rahman Soltan penganjuran acara ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan elemen tinju profesional dengan pengaruh media sosial.

Katanya, pemilihan peserta tidak dibuat bersandarkan populariti semata-mata, sebaliknya melihat kepada disiplin dan ketahanan fizikal.

"Ini antara perlawanan influencer pertama di dunia. Kita mahu mereka keluar dari zon selesa dan membuktikan kemampuan dalam bidang baharu.

"Kalau tiada disiplin dan usaha, ia bukan pertandingan. Kita mahu perlawanan yang berkualiti, sebab itu peserta wajib menjalani latihan intensif selama empat bulan," katanya.

Menyedari risiko acara ini, Abd Rahman menegaskan aspek keselamatan adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi, terutama membabitkan pemeriksaan kesihatan ketat termasuk ujian darah.

"Setiap peserta perlu melepasi rekod perubatan yang diluluskan pihak berkuasa sebelum dibenarkan bertanding. Malah, bagi kategori wanita, penggunaan pelindung muka dan sarung tangan khas adalah wajib bagi mengurangkan risiko kecederaan," katanya.

Beliau juga akan memantau sendiri persiapan di lokasi bagi memastikan piawaian keselamatan badan pengawal selia di Dubai dipatuhi sepenuhnya.

"Saya sendiri akan ke Dubai lebih awal untuk memastikan semuanya selamat. Jika tidak, kita tidak akan teruskan. Peserta adalah tanggungjawab kami," tegasnya.

Acara ini dijangka bakal menarik perhatian jutaan pengikut pempengaruh terbabit di platform digital masing-masing.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan pertembungan penuh aksi ini, tiket boleh didapati secara dalam talian menerusi laman sesawang allstarinfluencers.

Disiarkan pada: April 30, 2026 @ 8:00am
d