Sukan Lain

Sepupu Sony Bill Williams perkasa cabaran ragbi Johor

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Johor (JRU) dijangka tampil selaku pencabar utama pada Piala Agong 2026 apabila mereka menandatangani pemain ragbi berpengalaman, Tim Nanai-Williams yang juga sepupu kepada ikon ragbi dunia Sonny Bill Williams.

Presiden JRU, Datuk Noorazam Osman berkata, kehadiran pemain berpengalaman itu bakal membawa perubahan positif dalam pasukan selain pemain tempatan juga dapat menimba ilmu berharga daripada Nanai-Williams.

"Johor komited sepenuhnya untuk menjadi lebih kompetitif dalam Piala Agong 2026. Gabungan pemain tempatan dan antarabangsa dijangka meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan serta membawa tahap saingan yang lebih tinggi," katanya.

Untuk makluman, pemain kelahiran New Zealand itu yang pernah mewakili Samoa dalam dua Piala Dunia Ragbi pada 2015 dan 2019 dijangka menjadi antara tonggak penting pasukan.

Bagi Noorazam, pada tahun ini mereka berazam untuk meraih gelaran selepas hampir menjuarainya sebelum ini tetapi dikecewakan oleh PDRM.

"Ini bukan sekadar kempen, ia satu misi. Tahun lalu kita tewas pada dua minit terakhir. Walaupun kita akui detik itu, fokus kita sekarang adalah untuk bergerak ke hadapan, memperbaiki diri dan naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

JRU turut memperkenalkan identiti baharu pasukan yang kini akan dikenali sebagai Johor Tigers, satu langkah bagi memperkukuh jenama serta menampilkan imej lebih agresif di pentas nasional.

Disiarkan pada: April 30, 2026 @ 4:03pm
d