Kuala Lumpur: Keputusan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira untuk tidak mengikut jejak rakan sebaya demi mengejar 'janji manis' elaun RM1,200 setahun pada penghujung 2022 ternyata menjadi taruhan paling berharga dalam kariernya apabila kini bergelar ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Bukan satu emas, malah pelari berusia 18 tahun itu membolot tiga emas menerusi 100 meter (m), 200m dan 4x400m, selain perak 4x100m.
Dalam tempoh empat tahun, anak kelahiran Terengganu yang juga bekas pelajar sekolah harian biasa iaitu Sekolah Menengah Sultan Ahmad, Kuala Terengganu itu terus terbang tinggi apabila menghuni kedudukan ke-36 terbaik dunia pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, awal bulan lalu.
Malah, dia memiliki catatan terbaik 11.71 saat (s) dalam 100m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026, sekali gus memegang rekod kebangsaan B-20.
Namun, catatan itu bukan lahir daripada seorang pelari yang sejak awal sudah dikenali. Izzatul Musfirah bermula dengan catatan 14.43s pada 2022 dan setiap tahun terus memperbaharui catatan terbaiknya sehingga akhirnya namanya dikenali di seluruh negara.
Di sebalik kejayaan itu, jurulatihnya, Khairul Azman, masih mengingati detik awal anak didiknya itu berbelah bahagi untuk kekal bersamanya atau mengikut rakan sebaya demi mendapatkan wang yang belum pasti.
Menurut Khairul, Izzatul Musfirah sendiri pernah bertanyakan sama ada latihan bersama Projek AMN yang berpusat di SMK Sultan Sulaiman menyediakan elaun atau sebaliknya.
"Saya masih ingat dan ada rekod bualan antara kami, dia WhatsApp tanya elaun sebab rakan dia pergi ke pasukan sana dikatakan akan diberikan duit poket. Waktu itu, saya cakap kepada dia, awak pilih antara prestasi ataupun duit. Kalau awak pilih duit, awak pergi ikut mereka. Kalau awak pilih prestasi, awak ikut saya.
"Masa itu saya menjanjikan pingat emas di MSSM 2023, di saat dia tak menang apa-apa lagi dan dia memilih untuk kekal berlatih demi emas di MSSM. Kalau masa itu dia pilih duit, tak ada Izzatul Musfirah. Saya cakap, perform dulu, semua benda akan datang sama ada duit, populariti dan sebagainya," katanya kepada Arena Metro secara eksklusif.
Menurut Khairul, anak didiknya seorang atlet berdisiplin, patuh pada arahan jurulatih dalam usahanya mengejar impian menjadi bintang pecut elit negara.
"Dia hanya rehat 48 jam walaupun melancong di luar negara bersama keluarga, tidak minum ais selain tidur pada jam 10.30 malam," katanya.