Permotoran

Taufiq sebak ziarah keluarga Farres

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkongsi kisah menyentuh hati selepas menziarahi keluarga Allahyarham pelumba motosikal muda negara, Farres Putra Mohd Fadhil, di Shah Alam hari ini.

Taufiq berkata, kunjungannya ke kediaman keluarga Allahyarham selepas sambutan Hari Kebangsaan memberi pengajaran mendalam kepadanya mengenai kehidupan dan betapa singkatnya usia manusia.

"Saya datang untuk menziarahi sebuah keluarga yang sedang kehilangan seorang anak. Tetapi saya pulang dengan hati yang lebih banyak belajar tentang hidup. Tentang betapa singkatnya usia kita," katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Menurut Taufiq, Farres sudah dekat dengan dunia permotoran sejak kecil apabila pada usia tiga tahun dia biasa bermain di dalam kereta lumba bapanya, Mohd Fadhil, yang ketika itu seorang pelumba kereta profesional.

Minat terhadap sukan permotoran itu kemudian diwarisi Farres sebelum bapanya memberi ruang untuk dia mengejar impian dalam dunia perlumbaan.

Farres melalui pelbagai program pembangunan sukan bermotor di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum melangkah ke pasukan profesional dan mencipta beberapa pencapaian penting dalam kariernya.

Antara pencapaiannya termasuk muncul Juara Keseluruhan FIM MiniGP Malaysia 2021, mewakili Malaysia ke FIM MiniGP World Series Final di Valencia, Sepanyol, selain mencatat kemenangan dan podium dalam saingan Malaysian Cub Prix.

Farres turut meraih podium pada Pusingan 3 CP150 di Dataran Seri Jempol tahun ini sebelum mencatat kemenangan sulung dalam kategori CP150.

Namun, Taufiq berkata, tiada siapa mampu menjangka bila sesuatu aktiviti menjadi yang terakhir buat seseorang.

Lebih menyentuh hati, beliau dimaklumkan rakan-rakan Allahyarham bahawa doa Farres selepas solat beberapa hari sebelum pemergiannya terasa lebih panjang dan bersungguh-sungguh daripada biasa.

"Kisah itu membuat hati saya tersentuh. Mungkin itu antara doa-doa terakhir Farres bersama Allah," katanya.

Taufiq turut sempat melihat gambar terakhir Farres sebelum perlumbaan, ketika Allahyarham masih bergurau dan ceria bersama rakan-rakannya.

"Tiada siapa menyangka itulah antara detik-detik terakhirnya di dunia. Ada salam yang sebenarnya salam terakhir. Ada pelukan yang sebenarnya pelukan terakhir. Ada doa yang rupanya doa terakhir," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2026 @ 7:34pm
d