Permotoran

FIA digesa bawa semula F1 ke Argentina

Oleh AFP

Buenos Aires: Presiden Argentina, Javier Milei menggesa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) supaya membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Argentina selepas hampir 30 tahun tidak dianjurkan di negara itu.

"Minat rakyat Argentina terhadap perlumbaan adalah abadi. Kami mempunyai tradisi dan miliki pelumba dan kini kami sekali lagi sedang membangunkan keseriusan institusi yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan F1", kata Milei ketika Kongres Amerika FIA yang berlangsung di Buenos Aires.

Grand Prix Argentina terakhir diadakan pada 1998 di Buenos Aires, yang menjadi lokasi kira-kira 20 perlumbaan Grand Prix F1 sejak 1950-an.

Negara itu mempunyai tradisi kukuh dalam sukan permotoran dengan legenda Argentina, Juan Manuel Fangio memenangi lima kejuaraan dunia antara 1951 hingga 1957.

Minat berterusan Argentina terhadap F1 terserlah April lalu apabila pelumba muda Argentina dari pasukan Alpine, Franco Colapinto, menarik kehadiran hampir setengah juta penonton, menurut penganjur, ketika perlumbaan pertunjukan di litar sepanjang empat kilometer yang dibina di ibu negara itu.

"Kami mahu melihat Colapinto berlumba di negara ini," tambah Milei pada Isnin.

Litar Oscar dan Juan Galvez di Buenos Aires yang dinamakan sempena dua pelumba era 1940-an dan 1950-an, kini sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.

Projek bernilai AS$100 juta (RM403 juta) itu merangkumi pembinaan litar baharu serta grandstand baharu bagi menampung perlumbaan Grand Prix motosikal dan F1, menurut pegawai bandar raya.

Kerja-kerja pengubahsuaian itu dijangka berlanjutan sehingga awal 2027.

Disiarkan pada: September 1, 2026 @ 9:37am
d