Kuala Lumpur: Grab menjadi syarikat pertama menerima Lesen Pengendali Perkhidmatan E-Hailing Rentas Sempadan (CRSOL) di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan yang dipertingkatkan hasil kerjasama kerajaan Malaysia dan Singapura.
Menerusi lesen itu, Grab bakal melancarkan perkhidmatan tempahan teksi baharu dikenali sebagai Cross-Border JB-SG (Beta), membolehkan pengguna membuat tempahan perjalanan dari pintu ke pintu antara Singapura dan beberapa kawasan di Johor menerusi aplikasi Grab.
Antara kawasan terbabit ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.
Perkhidmatan itu dijadual dilancarkan secara berperingkat mulai 4 Mei ini bagi menambah baik pengalaman perjalanan di antara dua negara yang mempunyai salah satu laluan sempadan darat paling sibuk di dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Grab, Alex Hungate berkata, permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan semakin meningkat terutama dalam kalangan pengguna yang berulang-alik atas urusan kerja, perniagaan dan percutian.
Katanya, ratusan ribu pengguna menyeberangi sempadan Malaysia-Singapura setiap hari dan ramai mahukan pilihan pengangkutan yang lebih mudah serta fleksibel.
"Grab berbesar hati dapat bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan Singapura dalam usaha meningkatkan hubungan rentas sempadan.
"Kami akan bekerjasama rapat dengan pemandu teksi dan penumpang untuk menambah baik operasi serta memastikan perkhidmatan yang selamat dan berkualiti tinggi," katanya dalam kenyataan.
Menerusi perkhidmatan baharu itu, pengguna boleh membuat tempahan awal antara 12 jam sehingga tujuh hari sebelum perjalanan.
Tambang pula ditetapkan lebih awal ketika tempahan dibuat berdasarkan kadar tambang tetap bagi teksi rentas sempadan.
Grab turut menawarkan diskaun pengenalan sehingga 20 peratus bagi menggalakkan pengguna mencuba perkhidmatan berkenaan.
Selain itu, pengguna boleh memilih kenderaan empat tempat duduk atau enam tempat duduk termasuk model premium mengikut keperluan keluarga dan pengembara perniagaan.
Dari aspek keselamatan, Grab memaklumkan semua ciri keselamatan dalam aplikasi seperti AudioProtect, pemantauan perjalanan dan butang kecemasan SOS akan terus aktif sepanjang perjalanan rentas sempadan.
Semua penumpang juga dilindungi insurans yang diperluaskan khusus untuk perjalanan antara Malaysia dan Singapura.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Malaysia dan Singapura akan mengeluarkan 300 lesen kepada pemandu teksi di setiap negara sepanjang tahun ini bagi menyokong pelaksanaan skim berkenaan.
Grab turut memaklumkan sebahagian pemandu GrabCab, armada teksi milik syarikat itu yang dilancarkan tahun lalu, sudah menerima lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengendalikan perjalanan rentas sempadan.
Bagi perjalanan dari Singapura ke Malaysia, teksi berlesen boleh mengambil penumpang dari mana-mana lokasi di Singapura dan menghantar mereka ke kawasan operasi ditetapkan di Johor.
Namun bagi perjalanan balik, pengambilan penumpang hanya dibenarkan di lokasi tetap yang ditetapkan kerajaan seperti Toppen Shopping Centre, Mid Valley Southkey Mall, Angsana Mall dan Terminal Larkin Sentral.
Bagi teksi Malaysia pula, pemandu boleh mengambil penumpang dari kawasan operasi di Johor dan menghantar mereka ke mana-mana lokasi di Singapura.
Manakala perjalanan pulang hanya dibenarkan dari lokasi tetap tertentu termasuk berhampiran Vivocity, Century Square, Stesen MRT Joo Koon dan Terminal Ban San Street.