Beijing: Seorang lelaki berusia 40 tahun di China mencetuskan keajaiban perubatan yang jarang berlaku apabila dilaporkan terselamat walaupun jantungnya berhenti berdenyut selama 40 jam sekali gus menarik perhatian pakar perubatan, lapor South China Morning Post.
Kejadian itu didedahkan oleh doktor kecemasan, Lu Xiao dari Hospital Gabungan Kedua Fakulti Perubatan Universiti Zhejiang melalui akaun media sosialnya.
Pesakit terbabit dilaporkan mengalami kegagalan jantung yang sangat serius sehingga tiada denyutan nadi dikesan walaupun beberapa percubaan bantuan pernafasan (defibrilasi) elektrik dilakukan.
Pasukan perubatan kemudian segera menggunakan mesin oksigenasi membran ekstrakorporeal (ECMO) bagi mengekalkan fungsi organ mangsa.
ECMO berfungsi sebagai jantung dan paru-paru buatan yang membekalkan oksigen serta mengeluarkan karbon dioksida daripada darah apabila organ pesakit gagal berfungsi sepenuhnya.
Teknologi ini sering digunakan sebagai sokongan sementara bagi pesakit kritikal atau mereka yang menunggu pemindahan organ.
Laporan hospital menyatakan bahawa penggunaan ECMO boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit serangan jantung terhenti sehingga 50 peratus berbanding hanya kira-kira satu peratus melalui kaedah CPR konvensional.
Sebelum ini, beberapa kes serupa pernah dilaporkan di China termasuk seorang wanita berusia 36 tahun yang terselamat selepas jantungnya berhenti berdegup selama 96 jam pada 2022.
Bagaimanapun, penggunaan ECMO mempunyai risiko tersendiri kerana doktor perlu memastikan keseimbangan rawatan yang tepat bagi mengelak komplikasi seperti pembekuan darah atau pendarahan yang boleh membawa maut.
Dalam kes lelaki ini, jantungnya mula menunjukkan tanda pemulihan dan dia terus diletakkan di bawah pemantauan rapi menggunakan rawatan ECMO selama kira-kira 10 hari.
Selepas 20 hari menerima rawatan intensif, pesakit dilaporkan pulih sepenuhnya dan mampu berjalan keluar dari hospital tanpa sebarang kesan sampingan yang serius.
Lu menyifatkan kejayaan itu sebagai satu keajaiban hasil gabungan kemajuan teknologi perubatan, kegigihan kakitangan hospital serta faktor nasib yang menyebelahi pesakit berkenaan.