Asia

'Saya selamat tapi isteri masih dalam lumpur'

Oleh Reuters

Kathmandu: Mangsa terselamat menyifatkan banjir kilat melanda Nepal, semalam ibarat limpahan lumpur yang sangat besar.

"Ia adalah limpahan lumpur yang besar yang menghala terus ke arah kami.

"Semakin ia hampiri kami, ia terus naik tinggi," kata Keshav Prasad Baral, 68.

Warga emas itu terselamat dalam bencana berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, isterinya gagal menyelamatkan diri dan hanyut di hadapan matanya.

"Apabila saya melihat banjir memasuki rumah kami, saya cuba memegang tangan isteri saya dan membawanya ke teres. Tetapi dia dihanyutkan oleh lumpur itu.

"Sebuah helikopter membawa saya ke tempat selamat empat jam kemudian tetapi isteri saya masih dalam lumpur. Dia telah tiada," katanya mengimbas insiden menakutkan itu.

Seorang lagi mangsa terselamat berkata, dia menyelamatkan diri dengan berpaut pada pokok mangga sambil memerhatikan rumah tempatnya bekerja hilang.

Bibek Kumal, 24, yang juga buruh sedang menggali lubang tandas di luar sebuah rumah yang baharu dibina di Bidur, daerah Rasuwa ketika banjir melanda.

Menurutnya, dia mendengar bunyi deruan air deras sebelum empat rakan sekerjanya menjerit menyuruhnya keluar dari lubang sedalam 1.5 meter dan menyelamatkan diri.

"Saya mula berlari namun, tiba-tiba air melimpah seolah-olah seperti berlaku gempa bumi," katanya ketika ditemui di katilnya di Pusat Trauma Kebangsaan Kathmandu ditemani adik, Dinesh.

Arus deras kemudian menghanyutkan Kumal ke hilir bersama lumpur dan sisa runtuhan, namun dia bernasib baik tersangkut pada pokok mangga.

"Jika tiada pokok mangga itu, saya sudah dihanyutkan sampai mati," katanya yang pernah melalui pengalaman gempa bumi dahsyat pada 2015 yang mengorbankan hampir 9,000 orang.

Turut dirawat di katil bersebelahan Kumal ialah Rihana Lamichhane, 11, yang mengalami kecederaan di dada dan kaki selepas dihanyutkan arus banjir ketika menyeberangi sungai susulan penutupan sekolahnya.

Disiarkan pada: August 27, 2026 @ 2:24pm
d