Sungai Petani: Jenazah suami isteri yang mangsa pembunuhan ngeri dengan kepala dan badan terpisah serta anak mereka di Kampung Belau di sini, kelmarin selesai menjalani proses bedah siasat semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Beliau berkata, setakat ini hanya jenazah anak lelaki mereka sudah dituntut keluarga manakala jenazah pasangan suami isteri itu masih berada di HSB.
"Kita hanya menunggu proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) serta cap jari bagi menentukan identiti dua individu terbabit sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
"Bagaimanapun bedah siasat ke atas anak pasangan itu yang ditemui meninggal dunia di tingkat atas rumah terbabit telah selesai dan sudah diserahkan kepada keluarga, semalam, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan 11 saksi untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, difahamkan jenazah anak lelaki pasangan itu sudah selamat dikebumikan petang semalam.
Media semalam melaporkan, tiga beranak ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok, di sini.
Suami isteri itu dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, manakala anak lelaki wanita terbabit dikenali sebagai Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.
Mayat pasangan suami isteri berusia 65 tahun dan 53 tahun itu dikatakan ditemui tidak sempurna dan diletakkan di atas permaidani yang ditutup dengan kain di dapur rumah berkenaan.
Manakala mayat anak lelaki mereka berusia 29 tahun pula ditemukan di dalam bilik bahagian atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.
Difahamkan, anak tiri kepada mangsa berusia 65 tahun itu dipercayai mempunyai masalah mental sejak tahun 2018 dan 2019.