mutakhir

Suami isteri tuntut kebenaran kematian bayi 8 bulan, serah bukti kepada polis

Oleh Noor Sara Mohamad Hanif

Arau: Pasangan suami isteri menuntut kebenaran selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya pada 15 April lalu.

Ibu mangsa, Aisyawati Isa, 34, berkata, sehingga kini, dia dan suami, Mohamad Zaer Wafar Che Mat Zaidin, 34, masih mencari jawapan di sebalik kejadian yang menimpa anak kedua mereka, Aufa Zayyana.

Menceritakan kembali detik bermula kejadian itu, Aisyawati berkata, dia menerima panggilan daripada pengasuh pada 5.20 petang ketika sedang dalam perjalanan ke rumah wanita itu untuk mengambil bayinya.

"Pengasuh memaklumkan anak saya tidak sedarkan diri. Apabila saya tiba di rumahnya di Taman Seri Wang Fasa 2, keadaan anak memang tidak sedarkan diri dan kelihatan seperti diserang sawan.

"Paling menyedihkan kerana ketika menghantar bayinya pada waktu pagi sebelum pergi ke tempat kerja, keadaan anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau menangis.

"Saya hantar arwah ke rumah pengasuh pada 6.45 pagi dan dia berada dalam keadaan yang sangat sihat serta ceria," katanya ketika ditemui, hari ini.

Aisyawati berkata, bayinya itu terus dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan doktor memaklumkan keadaannya adalah kritikal dan memerlukan rawatan segera.

Katanya, berikutan keadaan itu, bayinya terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar menaiki ambulans pada 3 pagi 16 April lalu untuk menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala.

"Bagaimanapun, anak saya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB pada 22 April, jam 3.08 petang.

"Jenazah anak saya kemudiannya dibawa pulang ke kampung dan kemudian selamat dikebumikan di Kelantan," katanya.

Bercerita mengenai pengasuh berkenaan, Aisyawati berkata, dia baru menghantar bayinya ke situ kira-kira sebulan lalu atas saranan kenalan dan tiada bayi lain yang dijaga di rumah terbabit.

"Bila ditanya, pengasuh hanya berulang kali meminta maaf dan memberitahu anak saya asyik menangis sebelum tiba-tiba menjadi tidak sedarkan diri.

"Sepanjang sebulan menghantarnya di situ, anak saya tidak mempunyai sebarang kesan lebam atau kelakuan pelik.

"Kami sekeluarga hanya mahukan kebenaran dan keadilan untuk arwah Aufa," katanya.

Susulan kejadian itu, keluarga berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada 15 April lalu dan melantik peguam bagi mendapatkan nasihat serta tindakan undang-undang selanjutnya.

Hari ini, pasangan berkenaan hadir ke IPD Arau menyerahkan satu bukti penting kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian berkenaan.

Disiarkan pada: April 28, 2026 @ 2:47pm
d