mutakhir

Bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia.

Katanya, sebaik dibawa pulang ke negara ini, ketiga-tiga gajah itu boleh ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka.

"Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.

"Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengambil maklum dan mengikuti perkembangan membabitkan tiga gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

"Berdasarkan gesaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) serta pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara," katanya.

Media hari ini melaporkan cadangan untuk membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Tennoji kini semakin mendesak apabila Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggesa rundingan segera dimulakan.

Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan secara serius susulan kebimbangan awam terhadap kebajikan haiwan berkenaan yang kini berada di Jepun.

Menurutnya, kementerian memandang serius isu berkenaan selepas beberapa imej dan video tular di media sosial yang mencetuskan reaksi rakyat.

"Berdasarkan penelitian memorandum yang dikemukakan, kita berpandangan cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah ini perlu diberi perhatian segera demi kepentingan awam dan sensitiviti semasa," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2026 @ 5:18pm
d