Sepang: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat kandungan palsu berhubung kenaikan harga bahan api di negara ini melalui media sosial.
Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu pada 31 Mac lepas dengan niat mengganggu orang lain di platform Threads.
Mengikut kertas pertuduhan, hantaran itu dikesan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada hari sama.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah membenarkan Siti Nor Sayikilla diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azmir Mohd Razali, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Terdahulu, Muhammad Rafique memohon jaminan minimum RM500 dengan mengambil kira keadaan peribadi anak guamnya yang disifatkan sebagai sukar.
Beliau berkata Siti Nor Sayikilla merupakan suri rumah tanpa pendapatan tetap, manakala suaminya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu serta mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).
"Anak guam saya menanggung dua orang anak, di mana anak sulung merupakan OKU yang terlantar, tidak boleh melihat dan bercakap serta memerlukan penjagaan sepenuh masa. Anak kedua pula masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa," katanya.
Bagaimanapun, mahkamah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak menegaskan kesalahan itu serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Hakim Ahmad Fuad berkata kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan perkara remeh, apatah lagi melibatkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Peruntukan ini diwujudkan supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan palsu atau tidak benar. Setiap tindakan ada akibatnya dan perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum sesuatu hantaran dibuat.
"Tindakan sebegini, walaupun nampak mudah seperti membuat komen atau hantaran, boleh membawa kesan besar. Sebab itu undang-undang menetapkan hukuman yang tinggi," katanya.
Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan rayuan pembelaan berhubung kesukaran hidup tertuduh, mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.