mutakhir

Pegawai tentera mengaku tidak bersalah 5 pertuduhan tuntutan palsu

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Pegawai tentera berpangkat mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer di sini, hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja senggaraan dan pembekalan bahan mentah tidak wujud bernilai lebih RM225,000 dua tahun lalu.

D Vivekananthan, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika bertugas sebagai Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 SKN RAJD) di Kem Terendak didakwa menggunakan lima invois daripada syarikat berbeza yang mengandungi butiran palsu berkaitan kerja pembinaan dan senggaraan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan invois atas nama Jelatok Rimba Enterprise bertarikh 12 Mac 2024 membabitkan kerja pembinaan Bengkel Latihan Ketukangan Anggota, dua Pondok Skuad Pasukan dan Stor Latihan Kereta Jenis C (KJC) berjumlah RM80,000 yang sebenarnya tidak wujud.

Pertuduhan kedua pula membabitkan penggunaan invois daripada WH Technic Resources bertarikh 26 Mac 2024 bagi kerja Senggaraan Garaj Balai Pengawal (BPKP 21) dan kerja berkaitan Pasukan 9 SKN RAJD bernilai RM35,523.75 yang juga didakwa tidak dilaksanakan.

Bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan invois palsu masing-masing atas nama Sri Bistari Trading (RM20,000), Subsurf Sdn Bhd (RM39,950) dan Fareena Universal (RM49,545) bagi kerja senggaraan Stor FAMTO 9 SKN RAJD, bilik sejarah serta blok penginapan pasukan yang tidak dijalankan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat 9 SKN RAJD, Kem Terendak antara 12 Mac hingga 19 November 2024.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari, manakala tertuduh diwakili peguam P Thisharmini.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tertuduh tidak diberikan jaminan atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius.

Peguam merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga, termasuk isteri, seorang anak berusia enam tahun serta ibu bapa mentua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Jun depan bagi serahan dokumen.

Disiarkan pada: April 30, 2026 @ 12:36pm
d