Klang: Lima individu termasuk tiga warganegara Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup migran warga Myanmar, awal bulan lalu.
Tertuduh warga tempatan iaitu Hasnul Nazudi Che Ahamed,45; Mohd Faisal Taib,37 serta wanita warga Myanmar, Ma Nge, 28 mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Sementara itu, pertuduhan terhadap dua lagi lelaki warga Myanmar Soe Min Oo, 28, dan Soe Naing, 43, akan dibacakan semula susulan mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mereka didakwa secara bersama dengan seorang individu yang masih bebas dengan niat bersama menyeludup 18 warga Myanmar di sebuah premis di Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 12.15 tengah hari, 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh kerana ia melibatkan isu keselamatan dan memohon kehadiran jurubahasa Myanmar bagi memboleh pertuduhan dibacakan semula pada prosiding.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.
Mohd Sabri kemudian menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan kes bagi membolehkan jurubahasa Myanmar hadir ke mahkamah, dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh yang tidak diwakili peguam.