mutakhir

Sindiket jual aksesori telefon tiruan tumpas, rampasan terbesar di Melaka dalam 10 tahun

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menumpaskan kegiatan penjualan produk komunikasi tiruan melalui platform e-dagang hasil serbuan 'Ops Jenama' di sebuah gudang di Taman Teknologi Cheng, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan tujuh anggota penguat kuasa susulan aduan pemilik cap dagang produk jenama terkenal terbabit yang turut serta dalam operasi berkenaan.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, ketika serbuan, kakitangan di premis itu sedang rancak memunggah barangan dipercayai tiruan dari China untuk dipasarkan secara dalam talian.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an disyaki pengurus premis turut ditahan di lokasi bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan platform media sosial dan tapak e-dagang popular bagi memasarkan barangan tiruan mereka kepada pelanggan.

"Modus operandi mereka adalah menjual produk tiruan secara dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa selain memudahkan capaian kepada pembeli," katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN Melaka dekat Krubong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu membawa kepada rampasan terbesar membabitkan barangan tiruan jenama terkemuka bagi tempoh 10 tahun di Melaka.

"Hasil pemeriksaan kita menyita 31,279 unit aksesori telekomunikasi tiruan seperti sarung telefon, fon telinga, 'air pods', kabel pengecas dan kotak telefon bernilai kira-kira RM132,086," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan menggunakan cap dagangan palsu bagi tujuan perdagangan.

Mohd Hazimin berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu dan disyaki mengaut keuntungan hasil jualan produk tiruan lebih sejuta ringgit setiap tahun.

Katanya, ini kerana setiap produk komunikasi menggunakan jenama terkenal dijual pada harga tiga kali lebih rendah berbanding produk tulen.

Disiarkan pada: April 30, 2026 @ 3:07pm
d