Arau: Sepasang suami isteri hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini, bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan pada 22 April lalu.
Mohamad Yuzri Yaacob, 35, dan isteri, Siti Munirah Ghozali, 35, tiba di IPD Arau jam 10.15 pagi hari ini bagi memberi keterangan berikutan mereka pernah menghantar anak ke rumah pengasuh yang sama.
Mohamad Yuzri berkata, anak keduanya yang kini berusia setahun dua bulan pernah dihantar ke rumah suspek di Taman Seri Wang Fasa 2 selama hampir 10 bulan bermula Februari 2025.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, terdapat beberapa insiden kecuaian dan pengabaian didakwa berlaku, termasuk anaknya dipercayai terjatuh dari katil sebanyak dua kali.
"Terdapat elemen kecuaian kerana anak saya terjatuh dari katil dua kali.
"Pengasuh memang ada memaklumkan kejadian itu, namun dia hanya memberitahu pada waktu petang ketika saya mahu mengambil anak, bukan memaklumkannya serta-merta.
"Memang terdapat kesan lebam, namun pada masa itu saya tidak menyangka insiden sebegini akan terjadi dan bersyukur anak saya masih sihat sehingga kini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat satu lagi kejadian yang disifatkan sebagai satu bentuk pengabaian serius apabila pengasuh didakwa meninggalkan bayinya sendirian bersama anak asuhan lain yang ketika itu berusia lima tahun.
"Insiden ini diketahui daripada seorang saksi yang juga ibu bapa kepada anak asuhan lain, apabila saksi terbabit datang ke rumah suspek dan mendapati tiada orang dewasa di situ.
"Pengasuh dikatakan keluar menghantar dua lagi anaknya ke sekolah dan membiarkan bayi saya yang ketika itu berusia tujuh bulan bersama kanak-kanak lima tahun sendirian di rumah.
"Itu memang satu kecuaian yang amat berat," katanya.
Mohamad Yuzri berharap penampilan beliau bersama isteri dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan secara telus demi menegakkan keadilan bagi keluarga mangsa.
Beliau turut menyeru mana-mana ibu bapa yang mempunyai pengalaman serupa dengan pengasuh berkenaan agar tampil ke hadapan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, Aufa Zayyana Mohamad Zaer Wafar, bayi perempuan berusia lapan bulan disahkan meninggal dunia pada 22 April lalu selepas seminggu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat pendarahan otak.