mutakhir

MCA serah bukti ancaman Along kepada Polis Bukit Aman

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Isu jenayah komersial yang semakin kompleks, termasuk aktiviti ceti haram (Along) dan penipuan transaksi digital rentas sempadan seolah-olah sukar dibenteras.

Ini dibuktikan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA menerima beratus aduan kes sebulan membabitkan isu ini.

Berikutan itu delegasi diketuai Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, bersama kepimpinan Persatuan Persahabatan dan Bantuan Bersama Malaysia–China mengadakan perbincangan mendalam selama bersama

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa hari ini.

Dalam pertemuan itu, Michael Chong menyerahkan fail aduan mangsa Along yang masih diganggu walaupun hutang mereka sudah dilangsaikan.

Mangsa bukan sahaja berdepan ugutan simbahan cat dan ancaman bakar, malah kini menjadi mangsa penyebaran maklumat peribadi secara dalam talian.

"Kita mencadangkan undang-undang pencegahan berkaitan dikembalikan bagi menangani operasi pinjaman haram yang semakin berleluasa.

"Selain itu, penggunaan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah untuk membekukan akaun keldai perlu diperkasakan bagi melumpuhkan aliran kewangan sindiket," tegas

Micheal Chong.

Sementara itu Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia–China, Ee Kah Fuk, turut membangkitkan trend baharu penipuan melibatkan platform pembayaran luar negara seperti Alipay dan WeChat Pay.

Beliau mendedahkan kes seorang pelajar warga China di Malaysia yang kerugian besar selepas ditipu individu tempatan yang kononnya mahu membantu urusan pertukaran wang untuk yuran pengajian.

Menurut Setiausaha Agung persatuan, Datuk Goh Boon Keng, transaksi melibatkan platform luar negara ini menyukarkan pengumpulan bukti kerana rekod yang tidak lengkap di dalam negara.

Menjawab isu itu, Rusdi memberi jaminan bahawa pihak polis mengklasifikasikan kes penipuan digital ini sebagai keutamaan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk tindakan susulan.

Selain itu, delegasi turut membentangkan butiran mengenai sindiket `kemalangan palsu' (crash scam) yang kian meresahkan pengguna jalan raya.

Michael Chong menggesa tindakan pantas diambil sebelum aktiviti itu boleh menyebabkan kemalangan maut melibatkan orang awam.

Pertemuan diakhiri dengan penyerahan dokumen rasmi kes-kes penipuan kepada pihak JSJK dan pertukaran cenderamata.

Kerjasama pragmatik antara NGO, parti politik, dan Polis Bukit Aman diharapkan dapat membendung ancaman jenayah komersial yang semakin menggugat keselamatan rakyat dan warga asing di Malaysia.

Disiarkan pada: April 30, 2026 @ 7:30pm
d