Kuala Terengganu: Reunion Skuad 1/89 PULAPOL Kuala Lumpur Zon Pantai Timur Tahun 2026 berlangsung dengan meriah di bandar raya ini, baru-baru ini.
Ia dihadiri 80 anggota serta pegawai termasuk yang sudah bersara bersama ahli keluarga masing-masing sempena sambutan ulang tahun ke-37 perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis (IDP) Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, Terengganu mewakili Zon Pantai Timur dipilih sebagai penganjur yang diketuai Asisten Superintendan (B) Zawi Awang bersama barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) dilantik.
"Reunion bertemakan 'Seketika Bersama, Sahabat Selamanya' ini menghimpunkan semula rakan seperjuangan setelah sekian lama terpisah, sekali gus mengeratkan kembali ukhuwah yang terjalin sejak zaman latihan.
"Majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran serta mengenang sahabat yang telah pergi ke rahmatullah.
"Suasana hening dan penuh keinsafan menyelubungi program ini, memberikan ruang kepada semua peserta untuk bermuhasabah dan menghargai ikatan persaudaraan yang masih terjalin," katanya.
Beliau berkata, selain itu, program turut diserikan dengan ziarah kebajikan ke tiga rumah sahabat yang uzur dan kurang sihat termasuk Sarjan Abas Hamzah, Sarjan Rusli Mohamad dan Sarjan (B) Mohd Redzuan Yusof.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan semangat keprihatinan dan solidariti dalam kalangan ahli skuad 1/89 disamping memberi sokongan moral kepada rakan yang memerlukan.
"Kemuncak acara adalah makan malam dalam suasana penuh nostalgia dan kegembiraan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan hiburan, penyampaian cenderahati, cabutan bertuah serta penghargaan kepada ahli.
"Reunion ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengimbau kenangan lama, malah memperkukuhkan lagi semangat persahabatan dan perpaduan dalam kalangan Skuad 1/89.
"Diharapkan program seumpama ini akan terus diadakan pada masa akan datang demi memastikan hubungan erat ini terus kekal utuh," katanya.