Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
Ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini, beliau berkata PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi.
"Ia meliputi empat inisiatif utama dan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan akan membuat pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, bagi memperluas perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Inisiatif itu dijangka dapat memanfaatkan lebih 480,000 pekerja yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor.
"Secara purata, satu nyawa rakyat kita hilang setiap minggu atau 54 kematian setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan ini. Anak-anak kita bekerja di luar negara bangun 4 pagi menyeberang ke Singapura pulang malam. Jadi, bagaimana harus kita perluas perlindungan Perkeso kepada warga negara Malaysia di luar negara?
"Jadi kita akan pinda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan," kata beliau.
Sementara itu, Anwar menjelaskan bahawa PACE yang meliputi empat inisiatif utama yang dilaksanakan melalui KESUMA, antaranya melibatkan Perkeso yang menyediakan dana RM580 juta bagi pengukuhan jaringan keselamatan, menerusi faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan serta meningkatkan kebolehgajian mereka.
"Di era AI ini, kita tidak boleh ketinggalan dalam pemerkasaan latihan dan penempatan kerja, kita harus memastikan golongan belia dan kumpulan rentan sentiasa kompetitif dan produktif. Bagi tujuan ini, kerajaan melalui HRD Corp memperuntukkan RM100 juta di bawah program HRD Yakin MADANI yang turut disokong oleh MyFutureJobs bagi memudah cara penempatan pekerjaan.
"Ketiga, bagi mempelbagaikan kemahiran dan memperkukuh perlindungan keselamatan sosial pekerja gig, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 jutakepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) khusus untuk latihan kemahiran pekerja gig terutamanya pekerja e-hailing dan p-hailing," kata beliau yang mendapat sorakan gemuruh daripada semua yang hadir.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan penyediaan dana RM10 juta daripada TalentCorp bagi pembiayaan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta Syarikat Pemula yang mengambil pelatih industri.