mutakhir

Kesesakan trafik di Pulai: Johor fokus penyelesaian menyeluruh

Oleh BERNAMA

Johor Bahru: Johor mengambil langkah segera bagi menangani isu kesesakan trafik yang semakin meruncing di kawasan Pulai dengan beberapa langkah penyelesaian telah dikenal pasti bagi memastikan kelancarannya.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu dipersetujui susulan lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad ke lokasi berkenaan dua hari lalu.

Beliau yang turut turun padang susulan aduan yang diterima daripada penduduk berkata kerajaan negeri sedang meneliti punca sebenar kesesakan dan akan menyelaras tindakan penyelesaian secara menyeluruh.

Menurutnya bagi penyelesaian jangka pendek, pihak polis akan membantu mengawal trafik dari jam 6 pagi hingga 10 malam bagi melancarkan pergerakan kenderaan di kawasan terbabit.

"Selain itu, kerja penggantian interlocking dipercepatkan secara 24 jam selama lima hari, supaya lorong terjejas dapat dibuka semula, dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang lebih teratur bagi memastikan pergerakan trafik kekal selamat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pula akan menaik taraf enam lampu isyarat kepada sistem 'smart traffic light' bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik di Jalan Pontian dan dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, bagi penyelesaian jangka sederhana, susur masuk ke Taman Pulai Jaya dari arah Pontian serta susur keluar ke Jalan Pontian menghala ke Taman Sri Pulai akan ditutup, manakala laluan alternatif ke lebuh raya dari Taman Pulai Emas akan dibuka.

Beliau berkata dalam masa sama, lampu isyarat di jalan keluar ke Taman Sri Pulai akan dinaik taraf kepada bulatan berhampiran susur keluar lebuh raya, selain pelebaran jalan sedia ada di Pulai Jaya bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan.

Onn Hafiz berkata bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan sedang meneliti beberapa cadangan termasuk pembukaan laluan alternatif melalui Taman Teratai dan Taman Sri Pulai.

Beliau berkata turut diteliti pembinaan laluan dari Pulai Jaya ke Pulai Duta hingga ke Nusa Bayu dengan kerjasama pihak pemaju serta pelebaran laluan FT005 yang kini dalam fasa kajian trafik.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak terbabit agar setiap pelaksanaan projek dirancang dan diselaras dengan rapi sejak peringkat awal.

"Jangan tunggu sehingga timbul masalah, barulah tindakan penyelarasan diambil kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kesannya," katanya.

Beliau berkata usaha berkenaan diharapkan dapat membantu melancarkan pergerakan harian penduduk dan mengurangkan kesesakan trafik, sekali gus memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Isu kesesakan trafik di Pulai sebelum ini turut dikongsikan oleh penduduk di kawasan berkenaan menerusi perkongsian di laman sosial Threads dengan rata-rata meminta kerajaan negeri mengambil langkah penyelesaian segera.

Disiarkan pada: May 1, 2026 @ 12:34pm
d