mutakhir

FAMA laksana intervensi stabilkan harga cili merah di Pulau Pinang

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan intervensi pasaran bagi menstabilkan harga cili merah di Pulau Pinang susulan penurunan ketara harga ladang sejak awal tahun ini.

Langkah itu diambil bagi melindungi pendapatan petani selain memastikan bekalan cili merah di pasaran kekal stabil.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, intervensi itu dilaksanakan susulan arahan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membantu petani yang terkesan akibat penurunan harga pasaran.

"FAMA komited memastikan keseimbangan antara kepentingan pengeluar dan pengguna melalui pemantauan kawalan rantaian harga yang lebih efisien.

"Kami terus memperkukuh jaringan pemasaran, memperluas belian terus dari ladang serta menyediakan platform jualan yang memberi nilai terbaik kepada semua pihak dalam rantaian bekalan agromakanan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, FAMA bersama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang juga akan mengadakan sesi libat urus bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri pada 5 Mei ini di TKPM Ara Kuda bagi membincangkan isu ladang dan sokongan berterusan kepada pengusaha tempatan.

Beliau berkata, FAMA akan memperluaskan usaha intervensi itu ke negeri lain sebagai langkah menangani ketidaktentuan harga komoditi serta memastikan kestabilan bekalan dan harga yang lebih adil kepada pengguna.

Dalam pada itu, penurunan harga berkenaan berpunca daripada lebihan penawaran susulan peningkatan hasil tuaian tempatan akibat cuaca kering yang menggalakkan pengeluaran cili dan memberi tekanan kepada harga di peringkat ladang dan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Selain itu, FAMA Negeri Pulau Pinang mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meningkatkan pembelian terus dari ladang bagi komoditi terpilih seperti cili merah daripada satu tan kepada dua tan sehari.

Program Kontrak Pemasaran (RPKP) turut dilaksanakan membabitkan petani di kawasan utama seperti TKPM Ara Kuda, Perda Veggie Park dan Kepala Batas bagi menyelaras bekalan serta mengurangkan pengaruh orang tengah.

FAMA turut memperluaskan rangkaian pemasaran menerusi Pasar Tani, Jualan Agro MADANI (JAM), Agrobazaar Kedai Rakyat dan jualan khas mingguan yang akan bermula di KOMTAR pada 8 Mei depan.

Sehingga 28 April lalu, sebanyak 99.675 metrik tan hasil pertanian termasuk cili merah dibeli menerusi inisiatif intervensi FAMA bagi mengimbangi bekalan dan permintaan pasaran.

Disiarkan pada: May 1, 2026 @ 4:07pm
d