mutakhir

Pasangan suami isteri ditahan, bunga ganja RM3.56 juta dirampas

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pasangan suami isteri ditahan selepas polis merampas 44.3 kilogram bunga ganja dan 5.6 kilogram ganja bernilai keseluruhan RM3.56 juta dalam operasi di Kudat, 20 Ogos lalu.

Rampasan bunga ganja berkenaan adalah yang pertama seumpamanya direkodkan di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dan isterinya yang juga warga asing berusia 32 tahun ditahan susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah.

Katanya, suspek lelaki ditahan kira-kira 4.40 petang di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor, Kudat.

"Isterinya pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kampung sama.

"Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.

Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 75 paket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3 kilogram dan 10 paket plastik disyaki ganja seberat 5.6 kilogram.

"Keseluruhan dadah seberat 49.9 kilogram itu dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan.

"Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala isterinya tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Katanya lagi, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah.

"Kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis," katanya.

Menurutnya, JSJN Kontinjen Sabah kekal komited membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Disiarkan pada: September 1, 2026 @ 1:00pm
d