Kuala Lumpur : Penantian sedekad peminat tegar kumpulan pop-rock antarabangsa, 5 Seconds of Summer (5SOS) akhirnya terjawab apabila mereka mengesahkan bakal kembali ke Malaysia sempena jelajah dunia EVERYONE'S A STAR! 2026.
Kumpulan dari Australia ini bakal tampil dalam satu persembahan yang dijanjikan penuh tenaga dan emosi bertempat di Unifi Arena Kuala Lumpur (KL) pada 17 November nanti.
Kali terakhir mereka menjejakkan kaki di Malaysia adalah kira-kira 10 tahun lalu. Kepulangan kali ini membawa kelainan apabila mereka memperkenalkan material daripada album studio keenam yang memaparkan evolusi bunyi lebih berani, diinspirasikan daripada nama besar seperti Gorillaz dan The Prodigy.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SAH Entertainment, Sufi Rashid usaha membawa masuk 5SOS adalah langkah bagi meraikan generasi muda yang membesar dengan muzik kumpulan itu.
"Kami mahu membawa kumpulan yang dekat dengan jiwa generasi muda. Ini adalah detik yang sudah lama dinantikan selepas 10 tahun dan kami tidak sabar melihat peminat berkumpul semula," katanya.
Tambahnya, acara ini bukan sekadar persembahan muzik biasa tetapi bakal dilengkapi dengan visual imersif dan produksi bertaraf antarabangsa.
Selain lagu-lagu baharu, 5SOS dijangka membawakan rangkaian hits multi-platinum yang melonjakkan nama mereka di persada global seperti lagu Youngblood atau She Looks So Perfect.
Tiket menyaksikan konsert mula dijual mengikut peringkat iaitu pra jualan artis pada 4 Mei ini bermula jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam.
Sementara jualan umum dibuka keesokannya bermula 12 tengah hari.
Pembelian boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.golive-asia.com.
Peminat juga boleh mula mendaftar untuk sesi Artist Presale di laman web rasmi 5sos.com bagi mendapatkan akses awal.
5SOS ditubuhkan di Sydney, Australia pada tahun 2011, berkembang daripada sekumpulan rakan sekolah menengah kepada salah satu kumpulan terbesar abad ke-21.
Sepanjang 14 tahun, mereka sudah menjual lebih 18 juta album, menjual lebih enam juta tiket di seluruh dunia, meraih lebih 10 bilion penstriman serta mencatat tiga debut #1 di carta Billboard 200.
5SOS juga memenangi pelbagai anugerah termasuk ARIA Awards, MTV EMAs dan MTV VMAs.
Dikenali dengan kolaborasi merentas genre dan jelajah antarabangsa kumpulan ini dianggotai Luke Hemmings, Michael Clifford, Calum Hood dan Ashton Irwin membuktikan bahawa definisi kumpulan moden sentiasa boleh diperbaharui.
Dengan pelancaran album keenam mereka EVERYONE'S A STAR!, di bawah Republic Records, 5SOS memulakan era paling besar mereka setakat ini, diterajui single meletup NOT OK, Boyband dan Telephone Busy.