Rap/RapXtra

Ebby Yus tidak selesa terima sumbangan tanpa bekerja

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Ebby Yus yang menghidap komplikasi buah pinggang dan jantung, memaklumkan tidak selesa menerima sumbangan bulat-bulat tanpa melakukan sebarang pekerjaan.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 61, berkata, dia lebih senang menerima sumbangan daripada hasil kerja yang dilakukannya.

"Jika ada yang buat begitu, saya akan kata, boleh tak bagi kerja yang saya mampu? Sebab saya boleh lagi buat kerja, tapi yang saya mampulah.

"Saya tak nak ambil kesempatan untuk terima sumbangan sahaja. Banyak orang nak buat TikTok untuk menyumbang kepada saya tapi saya kata jangan.

"Tak payah, insya-Allah selagi saya boleh bekerja, saya usaha kecuali

kalau saya dah memang terlantar terus, itu tak tahulah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya dia pernah diundang untuk menerima sumbangan dalam satu program Televisyen, namun dia minta diberikan kerja untuk muncul dalam program terbabit.

"Saya minta pangillah saya tengok apa yang saya boleh buat. Jadi itu macam gaji saya, bukannya sumbangan. Kalau macam itu, namanya kerja.

"Misal kata orang panggil saya, okey, mari buat show dan dibayar, dari hanya datang duduk dan kemudian naik atas terima sumbangan. Itu saya tak nak.

"Sebab saya masih boleh lagi. Kalau tak boleh berdiri, mungkin kita duduk atas kerusi. Jadi kalau nak ambil kesempatan macam itu saja, tidaklah," katanya.

Mengulas lagi, Ebby menyifatkan karier sebagai artis amat beruntung kerana dikenali sekali gus membuatkan ramai menghulurkan sumbangan.

"Saya tak terasa kalau orang kata asyik-asyik artis saja dapat sumbangan. Tetapi, cerita dia begini. bukan apa, sebab artis ini orang kenal.

"Tetapi orang Malaysia ini saya kata, memang yang terbaik, memang pemurah. Misal kata ada cerita orang sakit masuk dalam akhbar atau TV, ramai yang akan bantu," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2026 @ 11:20am
d