Marang: Meskipun tidak pernah bersua muka sepanjang perkenalan mereka, Nur Syafiqah Abd Rashid yakin untuk mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya, Mohd Hafiz Jamaludin.
Gadis berusia 26 tahun itu mengakui hanya berhubung dengan Mohd Hafiz menerusi panggilan telefon dan ada ketikanya panggilan video.
Kisah mereka mendapat perhatian selepas Nur Syafiqah yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik berkongsi video majlis pertunangannya di media sosial, baru-baru ini.
Menurutnya, pertunangan mereka dimeterai pada 23 Disember lalu di rumah keluarganya di Kampung Jerung Surau, Wakaf Tapai, di sini dan hanya dihadiri keluarga.
Katanya, ketika itu, Mohd Hafiz, 24, yang berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai chef restoran di Australia hanya menyaksikan majlis itu menerusi panggilan video.
Dia berkenalan dengan Mohd Hafiz selepas tunangnya itu menyertai penstriman langsung yang dibuatnya di satu platform media sosial pada Mei 2022.
"Di situlah kami berkenalan dengan pada awalnya hanya berkawan, namun lama kelamaan jadi serasi hingga menjalin hubungan cinta.
"Tapi kami memang tak pernah berjumpa sepanjang berkenalan dan kiranya bercinta jarak jauh sahaja sejak lebih setahun lalu.
"Cuma setiap hari tunang akan telefon saya, walaupun kadangkala tak ada apa yang nak borak dan sebab itu kami tahu aktiviti dilakukan satu sama lain.
"Saya juga pernah membuat panggilan video bertiga dengan tunang dan ibunya restu, malah terima saya sebagai bakal menantunya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lantaran hubungan jarak jauh itu, Nur Syafiqah mengakui bukan mudah untuk memujuk dan mendapatkan restu keluarganya.
"Keluarga saya macam tak bagi teruskan hubungan (dan berat hati) kerana risau saya jadi mangsa 'love scam'.
"Tapi abang bantu semak latar belakang tunang dan keluarga yakin selepas dapat tahu 'rekodnya' (tunang) bersih.
"Saya pula terima tunang sebab perwatakannya dan kesungguhannya untuk melamar saya," katanya.
Ketika ini, tiada apa yang diharapkan Nur Syafiqah melainkan melihat harinya bergelar raja sehari pada Mei depan menjadi kenyataan.
Selain itu, Mohd Hafiz bercadang pulang ke tanah air pada April nanti dan mereka dijangka bertemu buat pertama kali sebelum diijabkabulkan.
"Saya selalu berdoa semoga urusan kami dipermudahkan dan Alhamdulillah, majlis pertunangan bulan lalu berjalan lancar.
"Urusan kami nak beli rumah dan pinjaman pun dipermudahkan, malah kini kami sama-sama berusaha mengumpul duit kahwin.
"Terima kasih juga buat warganet yang mendoakan yang baik selepas saya kongsikan video pertunangan itu. Terharu rasanya kerana rata-rata komen positif malah ada berkongsi cerita pernah melalui pengalaman sama," katanya.