Kuala Lumpur: Pegawai tentera berpangkat kapten dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pencipta kandungan permainan video popular warga Bangladesh di Lebuhraya Maju (MEX), minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jad Faid Arhan, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
"Saya faham," katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, di KM 1.9 Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak di sini pada jam 5.30 pagi, 23 April 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu dan penumpang di dalam kenderaan sama.
"Saya faham. Saya mengaku tidak bersalah," katanya di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Ford Fiesta di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga tidak berupaya mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada pemandu, Jailani Sapih, 41, dan penumpang, Nafisa Tabassum Adiba, 21, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.
Terdahulu, Mohd Nordin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan yang sama seperti kes terdahulu.
"Kami akan membuat permohonan untuk perbicaraan bersama," katanya.
Muhammad Nazreen tidak mengemukan sebarang bantahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes sama seperti kes terdahulu.