utama

Kes anjing mati: Pertuduhan esok, polis nasihat jangan buat perhimpunan

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis sudah mendapat arahan pertuduhan bagi kes seekor anjing yang mati ketika operasi tangkapan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Majistret Klang esok susulan arahan diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan selesai dijalankan.

"Insya-Allah, esok dijangka akan diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.

"Pertuduhan ini dijangka bukan sahaja membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Shazeli bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada pertuduhan itu membabitkan lelaki dan wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kes berkenaan, termasuk seksyen undang-undang yang akan digunakan.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang awam supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berhubung isu berkenaan.

"Saya menasihatkan supaya tidak perlu diperbesarkan isu ini sehingga nak diadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan kerana daripada aspek perundangan, siasatan telah dijalankan dan kita kenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab.

"…dan ini hasilnya, siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak mengambil atau kita tidak berpihak kepada mana-mana (pihak). Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan (mengikut undang-undang).

"Justeru kepada masyarakat, berilah ruang dan kepercayaan kepada perundangan untuk melaksanakan bahagian mereka," katanya.

Ditanya berhubung kawalan di Mahkamah Klang esok, Shazeli berkata, polis sememangnya menjalankan kawalan di kawasan mahkamah, termasuk memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding.

Beliau menegaskan orang ramai yang hadir esok supaya mematuhi arahan polis dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.

"Biarlah undang-undang menjalankan tugasnya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.

Disiarkan pada: August 19, 2026 @ 2:00pm
d