utama

'Suami pegang kaki anak tidak lepas.. akhirnya mereka pergi juga'

Oleh Izz Laily Hussein

Kota Tinggi: Kasih seorang bapa tiada penghujungnya, malah sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan anak tersayang.

Begitulah pengorbanan Mohammad Nizam Zainal, 33, yang terus berusaha menyelamatkan anak sulungnya, Muhammad Zamri Mikhail, 8, selepas kanak-kanak itu lemas di laut berhampiran tapak perkhemahan di Kampung Punggai, Pengerang, semalam.

Namun usahanya berakhir tragedi apabila dia turut terkorban dalam kejadian berkenaan.

Luluh hati Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, apabila terpaksa menyaksikan sendiri pengorbanan terakhir suaminya yang berjuang menyelamatkan anak mereka, namun akhirnya kehilangan kedua-duanya buat selama-lamanya.

Menurut Nurul Jannah, suami dan anaknya turun ke laut pada 6 petang untuk mandi-manda sebelum dia melihat Mohammad Nizam melambung anaknya kira-kira 10 minit kemudian.

"Saya nampak suami lambung anak (beberapa kali), rupanya dia sedang cuba selamatkan anak yang lemas. Masa itu saya dengar suami jerit 'tolong' sambil dia lambung anak.

"Bapa saudara yang berada di lokasi kemudian cuba menarik suami dan anak, tetapi ketika itu ombak besar kerana air pasang.

"Masa bapa saudara saya tarik, suami masih lagi pegang kaki anak... tak lepas. Kuat lagi dia pegang," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) hari ini.

Suri rumah itu yang menetap di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru berkata, ketika diselamatkan, dua beranak itu sudah tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia ketika rawatan di Klinik Kesihatan Bayu Damai.

Nurul Jannah berkata, keluarga mereka berkhemah di tapak perkhemahan itu sejak Ahad dan percutian mereka turut disertai keluarga ibu saudaranya.

Katanya, Mohammad Nizam antara yang paling teruja untuk berkhemah di tapak berkenaan dan mereka sepatutnya pulang ke rumah hari ini.

"Ketika dalam perjalanan semalam saya sudah tidak sedap hati. Apabila tiba di tapak perkhemahan itu, suami jadi seorang yang banyak bercakap, ceria dan perubahan itu turut disedari ibu saudara.

"Suami juga berubah jadi sukar tidur dan sebenarnya dia sudah tidak tidur tiga hari," katanya.

Jenazah Mohammad Nizam dan Muhammad Zamri Mikhail akan dikebumikan di Felda Papan Timur di sini.

Terdahulu, media melaporkan seorang bapa dan anak lelakinya ditemukan lemas di sebuah tapak perkhemahan di Kampung Punggai, Pengerang di sini, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan.

Disiarkan pada: August 31, 2026 @ 1:48pm
d