utama

Identiti 4 maut kemalangan di LPT dikenal pasti

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis mengesahkan empat individu termasuk tiga beranak maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (Arah Timur) di Kawasan Lanchang, Temerloh, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata, tiga beranak yang maut ialah suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 serta anak lelaki berusia empat tahun yang menaiki kereta Proton S70.

Katanya, manakala seorang lagi penumpang kereta Honda CRV, Seow Beng Wain, 55 dari Shah Alam, Selangor yang semua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat kemalangan membabitkan 11 kenderaan iaitu sebuah lori tangki muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang dalam perjalanan ke arah timur pada 10.55 malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori tangki simen yang hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan di atas jalan.

"Akibat pelanggaran itu, lelaki berusia 18 tahun yang memandu kereta Honda CRV mengalami kecederaan parah manakala penumpang iaitu bapanya, Beng Wainmeninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta Proton S70 serta isteri dan anak lelaki turut meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, anak suami isteri itu dikenali Muhammad Armaan Nazeef.

Azry Akmar berkata, pemandu lori tangki cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH), Temerloh.

Katanya, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain iaitu sebuah bas ekspres dan tujuh kenderaan lain tidak mengalami kecederaan serius.

"Semua mangsa dibawa ke HoSHAH, Temerloh untuk menerima rawatan dan bedah siasat yang dijalankan pagi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2026 @ 1:27pm
d