[VIDEO] Tiada kewajipan bersolat di dalam Gua Hira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung mengambil peluang memasuki Gua Hira yang terletak di atas Jabal Nur, Mekah hari ini.

MEKAH – Tidak menjadi suatu kewajipan untuk umat Islam berlumba-lumba bersolat ketika menziarahi Gua Hira yang terletak di atas Jabal Nur dalam wilayah Hijaz, di sini.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Tabung Haji (TH), Mohd. Bakri Aziz@Saari berkata, umat Islam hari ini perlu merenung banyak pengajaran yang boleh diambil ketika mengunjungi Gua Hira selain menekuni kebesaran Allah SWT kerana alam ini keseluruhannya adalah kekuasaan Ilahi.

Menurutnya, hatta dalam perjalanan menaiki Jabal Nur ke Gua Hira itu pun banyak pengajaran boleh diambil antaranya Nabi Muhammad SAW mencari ketenangan hati berikutan akhlak buruk kaum di Mekah ketika itu.

“Yang pertamanya, apa boleh disimpulkan di sini kita lihat pada wahyu yang pertama itu sendiri perlu mengutamakan ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan membaca ini adalah daripada pemerhatian kita dengan kita merenung alam dengan kita melihat kebesaran-kebesaran ciptaan Allah Taala.

“Keduanya, kita melihat orang ramai naik ke Gua Hira ini, mereka ini bersolat di dalamnya. Sebenarnya, tiada pun yang menyebut bila kita sampai ke Gua Hira kena solat di situ, bukan satu kewajipan, namun kita ingin melihat gua ini untuk dekatkan lagi kita dengan wahyu Allah SWT,” katanya.

Pengunjung mengambil peluang memasuki Gua Hira yang terletak di atas Jabal Nur, Mekah hari ini.

Terdahulu, Mohd. Bakri menyertai 16 petugas media TH termasuk 14 pengamal media Malaysia mendaki Jabal Nur dalam program ke Gua Hira, hari ini.

Beliau berkata, umat Islam perlu membayangkan Nabi Muhammad SAW sanggup berkhalwat mencari ketenangan hati memandangkan banyak perkara buruk yang berlaku di Mekah pada zaman tersebut.

“Inilah takdir Allah Taala yang kita boleh sebut ketentuan-Nya, sehingga tiga tahun Rasulullah SAW berulang-alik ke sini maka turunlah wahyu pertama iaitu Surah al-Alaq.

“Bila kita duduk di Gua Hira ini kita terbayangkan wahyu itu, bagaimana kita boleh hampirkan diri kita dengan wahyu Allah SWT, supaya dijadikan panduan dalam kehidupan. Titik tolaknya di sini kita jadikan asas,” katanya.

Pengunjung mengambil peluang memasuki Gua Hira yang terletak di atas Jabal Nur, Mekah hari ini.

Lawatan ke Gua Hira merupakan antara aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh jemaah umrah dan haji setiap kali mengunjungi Tanah Suci Mekah bagi menghayati pengorbanan Rasulullah dan mengenang peristiwa penerimaan wahyu di gua tersebut.

Gua kecil yang hanya mampu memuatkan dua orang dewasa di dalamnya menjadi lokasi Baginda menyendiri dan bermunajat kepada Allah SWT selama tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di