WALAUPUN hanya lima emas tetapi kem olahraga boleh dianggap antara penyumbang terbesar kepada kecemerlangan kontinjen Malaysia mengatasi pencapaian 200 pingat pada Sukan SEA Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya 20 Disember lalu.
Secara keseluruhan, skuad olahraga menuai 16 pingat termasuk lima emas, lima perak dan 16 gangsa, sekali gus menjadi kontinjen dengan pungutan terbanyak daripada 61 jenis acara yang meraih pingat.
Ini adalah kali kedua berturut-turut olahraga mengutip pingat terbanyak buat negara selepas edisi Kemboja 2023 yang mana ketika itu membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa menjadikan keseluruhan 19 pingat.
Lima emas olahraga dimenangi Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Jonah Chang Rigan (lontar peluru), Grace Wong Xiu Mei (baling tukul besi) dan Nani Sahirah Maryata (lontar peluru).
Bagi edisi ke-33 kali ini, kedudukan kedua dikongsi bersama empat jenis sukan selepas meraih empat emas seperti skuasy, gimnastik, menembak dan berbasikal trek. Menembak dan tiga sukan tempur iaitu muay thai, pencak silat dan wusyu membawa pulang tiga pingat emas.
Sukan selama ini menjadi antara ‘lubuk emas’ negara iaitu terjun juga boleh dianggap cemerlang kerana memenangi dua daripada empat emas disebabkan penganjur hanya mempertandingkan empat acara kali ini.
Renang boleh dikategorikan sebagai tidak memuaskan apabila sekadar mengutip dua emas daripada 38 acara dipertandingkan selain tiga perak dan lima gangsa.
Daripada keseluruhan 38 acara renang, Singapura kekal dalam kelas tersendiri dengan menjadi pemenang terbanyak iaitu 19 emas beserta sembilan rekod baharu Sukan SEA.
Bagi skuad olahraga, mereka wajar dipuji, namun perlu bersedia memikul tanggungjawab yang lebih agresif kerana Thailand, Vietnam dan Indonesia jauh ke hadapan dari segi pungutan emas. Thailand menyapu 13 emas diikuti Vietnam 12 emas dan Indonesia sembilan emas.
Pada era 60-an sehingga 90-an, Malaysia pernah dianggap antara kuasa olahraga Asia Tenggara dengan menyumbang berbelas-belas emas sebelum konsisten dengan 8 emas dari 2001 hingga 2005.
Kemudian ia mula menurun kepada 7 emas (2007), 6 emas (2009), 5 emas (2011), 4 emas (2013), 3 emas (2015) tetapi kembali bangkit dengan 8 emas (2017) sebelum konsisten memenangi 5 emas (2019, 2021, 2023, 2025).
Sepanjang tempoh itu juga, Thailand dan Vietnam silih berganti muncul juara keseluruhan dengan pencapaian terbaik skuad olahraga negara adalah di kedudukan ketiga ketika menjadi tuan rumah edisi Kuala Lumpur 2017.
Jika renang dan olahraga mampu membutirkan lebih banyak pingat emas, tidak mustahil edisi ke-33 kali ini mampu menjadi pencapaian paling gemilang dalam sejarah penyertaan di Sukan SEA.
Malaysia meraih 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa dengan 231 pingat keseluruhan, jumlah tertinggi direkodkan di luar Kuala Lumpur, mengatasi pencapaian sebelum 216 pingat sewaktu edisi 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Edisi 2007 itu juga masih lagi memegang rekod pungutan emas tertinggi iaitu 68 emas diikuti 62 emas ketika di Singapura pada 2015.














