NORIDAH memberitahu, cabaran terbesar dalam pengurusan integriti bulan kekurangan peraturan, tetapi kewujudan budaya takut dalam kalangan pegawai.

Ramai lagi ‘gomen’ ada integriti, bukan semua makan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH ramai yang mempersoalkan mengenai integriti dalam kalangan penjawat awam di negara ini disebabkan segelintir daripada mereka yang terbabit dengan salah laku termasuk gejala rasuah.

Dalam hal ini, kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa majoriti daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini yang tidak terlibat dengan gejala-gejala tersebut dan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi

Untuk mengetahui lebih lanjut perkara ini, Ikuti wawancara Kosmo! Ahad bersama Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim baru-baru ini.

Beliau mengupas tentang persoalan integriti dalam kalangan penjawat awam yang masih kukuh dan mahu anggota masyarakat agar tidak menuding jari kepada golongan tersebut kerana hanya sebilangan yang terjebak dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

KOSMO! AHAD: Mutakhir ini, banyak rungutan rakyat di media sosial mengenai integriti dalam kalangan penjawat awam, lebih-lebih lagi membabitkan isu rasuah. Berdasarkan pemerhatian IIM, kenapa persepsi ini masih wujud?
NORIDAH: Kita perlu membezakan antara persepsi dan realiti. Hakikatnya, majoriti daripada kira-kira 1.6 juta penjawat awam negara menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.

Namun, dalam era digital, persepsi dibentuk oleh apa yang paling banyak dibicarakan di media sosial.

Misalnya, satu kes berprofil tinggi yang melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau ketirisan wang awam boleh menenggelamkan ribuan kisah integriti yang berlaku setiap hari.

Persepsi ini juga berkait rapat dengan tahap kepercayaan rak­yat terhadap institusi awam.

Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh IIM bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2025, kira-kira 30 peratus masyarakat Malaysia mahu agar institusi sektor awam melaksanakan program-program pe­ngukuhan integriti agar persepsi masyarakat terhadap institusi awam menjadi semakin baik.

Namun, apabila berlaku kelewatan tindakan, ketidakkonsistenan dalam penguatkuasaan atau kurangnya ketelusan dalam pro­ses membuat keputusan, rakyat akan mula mempersoalkan integriti sistem secara keseluruhan.

Data Indeks Persepsi Ra­suah (CPI) negara menunjukkan peningkatan pada 2025 dengan skor 52 mata dan berada pada kedudukan ke-54 daripada 182 negara berbanding kedudukan ke 57 dengan skor 50 mata pada 2024.

Walaupun berlaku peningkatan CPI 2025 hasil pelbagai usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan, skor ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang besar untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap integriti sektor awam.

Daripada perspektif IIM, isu lebih besar bukan sekadar ra­suah semata-mata, tetapi memulihkan kepercayaan.

Sebab itu Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) yang diterajui oleh IIM memberi fokus kepada pembudayaan integriti secara menyeluruh melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society.

NIES itu sendiri dibangunkan dengan mengambil falsafah Pelan Integriti Nasional (PIN) yang digubal pada 2004, menekan kepada pembudayaan integriti secara menyeluruh.

Integriti tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab sektor awam atau agensi penguat kuasa sahaja, sebaliknya perlu menjadi budaya nasional yang diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Dalam konteks ini, IIM mempergiatkan pelbagai program seperti Sambutan Bulan Integriti Nasional, Konvensyen Integriti Nasional, program Integrity Youth Ambassador (IYA), Modul Integriti Kanak-kanak (MIKA), Modul Integriti Keluarga (MIKe), Community Integrity Building (CIB) serta pelbagai inisiatif pendidikan integriti bagi membina kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa integriti bukan sekadar isu pematuhan, tetapi soal nilai dan karakter bangsa.

MASIH ramai penjawat awam yang bekerja dengan dedikasi dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa serta rasuah. – GAMBAR HIASAN

Bagaimana agensi kerajaan boleh membentuk budaya kerja yang membuatkan penjawat awam berani menolak arahan salah atau melaporkan penyelewengan tanpa rasa takut?
Cabaran terbesar dalam pengurusan integriti bukanlah kekurangan peraturan, tetapi kewujudan budaya takut.

Ramai pegawai mengetahui sesuatu tindakan itu salah, namun tidak semua berani untuk bersuara kerana bimbang dikenakan tindakan balas, ­disisihkan atau terjejas peluang kerjaya.

Sebab itu NIES memberi penekanan kepada pembentukan budaya organisasi mengutamakan keberanian moral dan akauntabiliti. Organisasi perlu mewujudkan persekitaran membolehkan warga kerja bersuara tanpa rasa takut.

Selain memperkukuh perlin­dungan pemberi maklumat, agensi kerajaan perlu menjadikan budaya speak up sebagai norma organisasi.

Kepimpinan tertinggi perlu menunjukkan teladan bahawa menegur kesalahan bukan tindakan mengkhianati organisasi tetapi usaha mempertahankan integriti organisasi.

Dalam konteks ini, IIM melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) membantu organisasi memba­ngunkan sistem pengurusan integriti yang lebih sistematik.

Organisasi digalakkan mendapatkan pensijilan se­perti Corporate Integrity Management System (CISM) dan Anti-Bribery Management System (ABMS) bagi memastikan aspek tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan dalaman sentiasa diperkukuh.

Sejauh mana tahap integriti penjawat awam hari ini dipengaruhi oleh campur tangan politik atau tekanan daripada pihak berkepentingan?
Dalam mana-mana negara demokrasi, tekanan daripada pelbagai pihak merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Yang menjadi ukuran sebenar ialah sejauh mana sistem mampu mempertahankan prinsip profesionalisme dan tadbir urus yang baik.

Apabila campur tangan mula mempengaruhi urusan perolehan, pelantikan, pe­nguatkuasaan atau pemberian kelulusan tertentu, risiko integriti akan meningkat dengan ketara.

Sebab itu kerajaan melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024-2028) memberi penekanan kepada reformasi institusi, pengukuhan tadbir urus dan peningkatan akauntabiliti sektor awam.

Pada pandangan saya, penjawat awam perlu sentiasa berpegang kepada prinsip neutral, profesionalisme dan akauntabiliti. Mereka berkhidmat kepada negara dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu atau kelompok tertentu.

Apa lebih penting ialah membina institusi yang kuat. Institusi yang kuat akan mampu menahan tekanan politik, ekonomi atau sosial. Sebaliknya, institusi yang lemah akan mudah dipe­ngaruhi walaupun mempunyai individu yang berintegriti.

Apakah langkah paling kritikal perlu dilakukan sekarang untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi dan perkhidmatan awam?
Kunci utama ialah ketelusan. Rakyat hari ini bukan sahaja mahu melihat tindakan diambil, tetapi mahu melihat bukti bahawa tindakan tersebut dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa pilih kasih.

SPRM melaporkan ribuan a­duan diterima setiap tahun me­libatkan unsur rasuah dan salah guna kuasa. Ini menunjukkan sistem penguatkuasaan sedang berfungsi.

Namun, keyakinan rakyat hanya akan meningkat apabila mereka melihat hasil yang nyata daripada tindakan tersebut.

Saya melihat tiga keutamaan yang perlu diberi perhatian segera. Pertama, mempercepatkan reformasi institusi dan memperkukuh tadbir urus.

Kedua, memperluaskan penggunaan teknologi digital bagi mengurangkan ruang interaksi yang berpotensi mewujudkan risiko rasuah. Ketiga, memperkukuh pendidikan integriti secara berterusan.

Atas sebab itu IIM sedang memperluaskan pelaksanaan SPINE sebagai satu instrumen untuk menyemak status kesihatan integriti agensi awam, serta memberikan cadangan rawatan yang bersesuaian.

Pembudayaan integriti perlu berge­rak daripada pendekatan compliance kepada pendekatan conviction iaitu melakukan perkara yang betul kerana percaya ia betul, bukan kerana takut dikenakan tindakan.

Berdasarkan pemerhatian IIM, apa isu integriti kerap dilaporkan membabitkan penjawat awam selain rasuah?
Ramai yang menganggap integriti hanya berkaitan rasuah. Sebenarnya skop integriti jauh lebih luas.

Antaranya ialah konflik kepentingan, penyalahgunaan kuasa, salah guna aset kerajaan, pemalsuan dokumen, kebocoran maklumat rasmi, tuntutan palsu dan ketidakhadiran bertugas.

Malah dalam banyak keadaan, isu-isu ini menjadi pintu masuk kepada perlakuan rasuah yang lebih serius.

Sebagai contoh, kegagalan mengisytiharkan konflik kepen­tingan mungkin tidak melibatkan wang pada peringkat awal, tetapi akhirnya boleh mempengaruhi keputusan organisasi dan menjejaskan keadilan serta ketelusan.

SEBAHAGIAN suspek termasuk pegawai ATM yang ditahan selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air pada September 2025.

Apa lagi jenis-jenis isu yang sebenarnya salah dari sudut integriti tetapi mungkin orang ramai tidak tahu?
Ini antara cabaran terbesar cuba ditangani oleh IIM.
Ramai menyangka seseorang itu berintegriti selagi tidak mengambil rasuah. Hakikatnya, integriti jauh lebih luas daripada itu.

Sebagai contoh, menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi, memanipulasi tuntutan perjalanan, menggunakan kemudahan kerajaan bagi tujuan persendirian, menyembunyikan konflik kepentingan, membocorkan maklumat dalaman organisasi atau mengamalkan pilih kasih dalam membuat keputusan juga merupakan pelanggaran integriti.

Malah budaya seperti ‘asal siap’, ‘tidak apa’, ‘semua orang buat’ dan ‘bukan kerja saya’ juga sebenarnya mencerminkan kemerosotan integriti kerja.

Integriti bukan sekadar isu undang-undang. Integriti adalah soal keselarasan antara nilai, tindakan dan tanggungjawab.

Sebab itu agenda pembudayaan integriti yang sedang dipacu melalui NIES memberi penekanan kepada pembentukan karakter, etika dan nilai.

Matlamat akhirnya bukan sekadar melahirkan penjawat awam yang patuh kepada peraturan, tetapi melahirkan penjawat awam mempunyai kompas
mo­ral kukuh.

Apabila integriti menjadi budaya dan bukan sekadar kewajipan, kepercayaan rakyat akan kembali pulih. Apabila kepercayaan pulih, negara akan memiliki modal sosial yang cukup kuat untuk melonjakkan pembangunan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di