SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Owner & Friend 3.0 di Pantai Morib, Banting, Selangor baru-baru ini.

Asah skil tunggang kuda di Pantai Morib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PESISIR Pantai Morib, Banting, Selangor kini menjadi tumpuan para penunggang kuda. Haiwan yang popular sebagai kenderaan tunggangan watak-watak drama bersiri koboi dari Hollywood itu kini semakin digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk tujuan rekreasi mahupun ekstrem.

Bagi menyuntik kelainan, sekumpulan peminat aktiviti berkuda telah memilih Pantai Morib untuk aktiviti menunggang santai, berlumba mahupun berlatih aksi akrobatik dengan kuda kesayangan mereka.

Menurut seorang peminat sukan equestrian dari Kampung Sijangkang, Rozdeen Mohd. Jaafar, 54, menunggang kuda merupakan aktiviti yang menyihatkan untuk semua lapisan masyarakat tidak mengira usia.

“Hari ini kita mengadakan program menunggang kuda (kali ketiga) yang dipanggil Owners & Friends Ride 3.0 melibatkan peminat aktiviti ini dari Kuala Lumpur, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Objektifnya adalah untuk mempromosi aktiviti ini kepada orang ramai.

“Selain meningkatkan tahap kesihatan, ia juga boleh memantapkan kemahiran menunggang para penunggang kuda,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Rozdeen berkata, aktiviti berkuda tersebut bukan sahaja diadakan di pesisir pantai, malah kawasan yang belum dinaiki air laut pada waktu senja.

Katanya, keadaan muka bumi pantai yang berpasir halus menjadikan kepuasan menunggang kuda berada pada tahap maksimum.

“Kawasan pantai merupakan lokasi terbaik untuk kita menunggang kuda dan mengawalnya dengan kelajuan yang lebih baik.

“Saya boleh rangkumkan aktiviti berkuda ini juga mampu meningkatkan ukhuwah sesama peserta, selain sama-sama meningkatkan skil menunggang masing-masing,” katanya.

Sementara itu, seorang peminat kuda dalam kalangan wanita, Grace Chan, 44, berkata, sukan berkuda telah disertainya sejak tahun 2021, dan merupakan aktiviti rekreasi yang menggembirakannya sebagai wanita berkerjaya di ibu negara.

Wanita yang aktif menyertai acara berkuda endurance itu memaklumkan, sukan berkuda memerlukan pengorbanan wang ringgit untuk menyewa kuda berkualiti.

“Para peserta di sini hadir dari daerah berlainan untuk melakukan aktiviti berkuda dengan gembira.

Beberapa peserta menunggang kuda secara santai di tepi pantai.

“Selain aktiviti rekreasi di sini, saya turut menyertai acara endurance 40 kilometer.

“Walaupun tidak menang, namun saya berjaya menghabiskan acara tersebut,” katanya.

Menariknya, Grace juga mampu melakukan aksi akrobatik dengan berdiri di belakang kuda.

Katanya, aksi akrobatik tersebut memerlukan latihan intensif dengan sokongan rakan-rakan sealiran.

Katanya, kemahiran berkomunikasi dengan haiwan jinak tersebut memerlukan kesabaran dan latihan daripada jurulatih yang memiliki ‘stable’ dan berpengalaman.

“Untuk mahir mengawal kuda, kita perlu berlatih menunggang di kawasan seperti pantai secara konsisten.

“Namun untuk mendapat ilmu tentang kuda, kita perlu belajar (masuk kelas) dengan pihak yang mempunyai ‘stable’ kuda.

“Di pantai ini pula, kita perlu terus berlatih bagi meningkatkan kemahiran menunggang dengan mempraktikkan apa yang kita belajar dalam kelas di sini,” ujarnya.

Bagi salah seorang peserta senior dari Banting, Jefrizal Jaafar, 51, berkata, Owners & Friends Ride 3.0 adalah program berskala kumpulan kecil yang mengumpulkan pemilik kuda sekitar Kuala Langat, Sepang, Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor sejak dua tahun lalu.

Jelasnya lagi, antara pemilik ‘stable’ yang terlibat untuk program tersebut ialah Lanz Jebat Equestrian Club, Hakim Stable, Irama Alam Equestrian Club, Al Hafiz Stable, White Horse Stable, Budin’s Stable dan Band of Brothers’ Club.

“Program ini telah bermula beberapa tahun lalu dan akan diteruskan pada masa depan.

“Peminat-peminat sukan berkuda sentiasa dialu-alukan untuk bersama-sama kami di sini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di